Starlink bantu IPT, luar bandar capai internet segera
- Wartawan Nabalu News
- Jul 16, 2023
- 1 min read

16 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan rancang untuk mendapatkan 40 peranti satelit Starlink daripada syarikat SpaceX untuk meningkatkan capaian internet di institusi pengajian tinggi (IPT) dan kawasan luar bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Anwar, beliau telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk secara maya pada Jumaat dan mendapat jaminan bahawa peranti itu boleh disediakan dengan segera.
"Elon kata dia boleh berikan kita 40 peranti. Dia juga memberi jaminan semalam bahawa jika kita memerlukan lebih banyak unit, kita juga boleh beli untuk pemasangan di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar aduan daripada pelajar IPT yang menghadapi masalah internet perlahan.
"Saya melawat universiti dan mendengar rungutan daripada pelajar yang bertanya, 'Dato Seri, bagaimana kita boleh belajar sedangkan internet perlahan'," katanya pada Sabtu.
Tambah beliau, peranti satelit Starlink yang kecil itu boleh menyediakan sambungan internet segera dengan dipautkan secara langsung kepada satelit.
Menurut, Anwar peranti satelit itu juga bakal diperluaskan di kawasan luar bandar bagi membantu usahawan luar bandar.
"Tetapi kita mulakan dengan universiti, politeknik, dan sekolah (terlebih dahulu) yang memerlukan akses internet.
"Peranti ini kecil tetapi ia boleh menukar sambungan internet yang perlahan kepada sambungan segera. Jika tiada internet di sini, ia akan menyediakan internet kerana ia dipautkan secara langsung kepada satelit," katanya.
Beliau juga berkata, pelaburan SpaceX di Malaysia adalah berdasarkan kepercayaan syarikat itu dengan kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara ini.
"Dia tahu saya mengetuai kerajaan yang stabil⁵[5]. Dia tahu Anwar, bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memastikan kerajaan yang kukuh dan jelas dasar ekonomi," katanya.


















Comments