top of page

STR Fasa 2 diagih mulai esok, diawalkan sempena Aidilfitri

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

9 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan diawalkan dan mula dikreditkan secara berperingkat mulai esok.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran STR itu diawalkan bagi membolehkan penerima membuat persiapan menjelang Aidilfitri minggu depan.


Menurutnya, pembayaran berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion yang akan memanfaatkan 5.2 juta penerima di seluruh negara.


“Kita nak sambut Aidilfitri, jadi kita awalkan kepada 10 Mac," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di Putrajaya, hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan disalurkan pada 13 Mac kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah, termasuk kakitangan lantikan kontrak.


“Ini termasuk pesara kerajaan serta veteran yang berpencen serta tidak berpencen yang turut menerima RM250 pada tarikh sama iaitu 13 Mac dan bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan,” katanya.


Selain itu, Anwar turut mengumumkan penyaluran sumbangan khas sebanyak RM500 kepada 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut bagi menghargai khidmat mereka, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026.


Beliau juga mengumumkan subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 bagi mengurangkan beban pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak diperluaskan.


Katanya, inisiatif diperluas itu akan memberi manfaat kepada 50,000 pelajar pada tahun ini berbanding 44,000 pada 2025.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page