- Wartawan Nabalu News
Subsidi beras putih import untuk Sabah dan Sarawak antara langkah intervensi kerajaan
3 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Subsidi beras putih import untuk Sabah dan Sarawak antara langkah intervensi Kerajaan Perpaduan menangani isu bekalan beras.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Okt di kedua-dua negeri itu.
Beliau berkata, langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.
“Tindakan itu diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di Sabah dan Sarawak adalah terhad,” katanya pada sidang media khas, di Kuala Lumpur, kelmarin.
Mohamad berkata, langkah intervensi itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama beliau kelmarin.
Katanya, Perdana Menteri bersetuju supaya empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.
Beliau berkata, langkah itu termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.
“Oleh kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya.
Katanya lagi, semua pembekal akan menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM 3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50 kg tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.
“Terma kontrak perolehan pembekalan beras di bawah agensi Kerajaan sebelum ini termaktub menggunakan beras putih tempatan.
“Sehubungan itu, kerajaan memutuskan supaya perolehan baharu beras di bawah kontrak kerajaan menggunakan beras putih import,” katanya.
Mohamad berkata, Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, telah dilancarkan kelmarin.
“Melalui OP BPT ini, kita akan membuat pemeriksaan menyeluruh rantaian industri termasuk semua kilang besar dan stor-stor pemborong beras. Sampel beras juga akan diambil di semua kilang dan pemborong beras serta di pasar raya untuk dibuat analisis kimia,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import atau menyorokkan beras putih tempatan.
Mohamad turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membuat pembelian panik.
“Bila berlaku pembelian segera, sebagai contoh, orang di Lembah Klang selalunya mereka suka membeli beras import berbanding dengan beras tempatan, tetapi bila ada kenaikan harga beras import sehingga RM37 dan RM38 mereka berubah kepada beras tempatan,” katanya.
Comentarios