- Wartawan Nabalu News
Subsidi tiket penerbangan diperluas kepada pelajar politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan IPG
6 Oct 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Pelajar yang belajar di politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) kini boleh mendapatkan subsidi pembelian tiket penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, Ini adalah hasil daripada pengembangan inisiatif bantuan subsidi bagi pelajar yang berdaftar sehingga sesi akademik 2022/2023.
"Pelajar yang layak boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang https://subsidiudara.mot.gov.my/ mulai hari ini.
"Setelah membuat semakan, pelajar yang layak boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan daripada mana-mana satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia, Batik Air dan MYAirline yang dipilih," kata kementerian itu menerusi satu kenyataan hari ini.
Buat masa ini, pelajar yang layak hanyalah pelajar yang berdaftar di politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan institut pendidikan guru sehingga sesi akademik 2022/2023 serta belum menamatkan pengajian selepas sesi akademik tersebut.
Tambah MOT, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.
"Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya.
"Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Disember depan namun pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan adalah dibenarkan," katanya.
MOT juga memaklumkan, sekiranya semakan mendapati pelajar tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT, KPM atau institusi pendidikan masing-masing.
Pada Julai lalu, kerajaan mengumumkan inisiatif bantuan tersebut melibatkan pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Commenti