Sukan Olimpik Paris 2024 : Perjuangan Goh Jin Wei berakhir
- nabalunews
- Jul 31, 2024
- 2 min read

31 Julai 2024
PARIS : Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mengalirkan air mata sambil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selepas perjuangannya di Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir hari ini.
Jin Wei tewas di tangan pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun, 21-17, 20-22, 21-23 dalam tempoh 65 minit pada aksi terakhir Kumpulan H di Porte de La Chapelle Arena, sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terakhir.
Dalam aksi yang penuh mendebarkan, Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia berpeluang untuk menewaskan lawannya apabila mendahului 20-18 di set ketiga.
Bagaimanapun, Ga Eun lebih bijak mengawal tekanan apabila bangkit sehingga berjaya mengikat keputusan 21-21 sebelum mencatat kemenangan 23-21.
Jin Wei berkata dia tidak mahu memberikan sebarang alasan apabila menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.
"Memang ada peluang tetapi saya tidak dapat menyudahkannya. Ga Eun mengawal tekanan dengan lebih baik dalam perlawanan hari ini.
"Saya tidak mahu beri sebarang alasan kerana apa yang berlaku disebabkan kesilapan saya sendiri. Saya akan lihat semula rakaman perlawanan hari ini dan tengok apa lagi yang kurang untuk saya perbaiki," kata Jin Wei.
Meskipun pahit untuk ditelan, Jin Wei yang berada di ranking ke-32 dunia, berkata kekalahan ini tidak akan mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain badminton.
"Saya akan terus berjuang, saya anggap ini sebagai cabaran untuk saya dalam hidup ini. Saya akan perbaiki kelemahan untuk menghadapi cabaran seterusnya tetapi buat sementara saya mahu berehat dulu," kata bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Belia itu.
Meskipun gagal ke pusingan kalah mati, pencapaian layak beraksi di Olimpik Paris kali ini satu pencapaian membanggakan buat Jin Wei mengambil kira pelbagai kisah suka duka dialami pemain itu dalam kerjayanya.
Jin Wei yang suatu ketika dianggap sebagai permata berharga badminton negara pernah mengumumkan persaraan pada September 2021 selepas terpaksa menjalani pembedahan membuang usus perutnya.
Bagaimanapun, dia keluar daripada persaraannya lima bulan kemudian dan bergelar pemain profesional.
Pada Sukan Olimpik Paris, Jin Wei juga berdepan cabaran apabila tidak dapat ditemani jurulatihnya, Nova Armada berikutan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Dia dibantu Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik pemain perseorangan wanita negara di Sukan Olimpik adalah menerusi Datin Wong Mew Choo yang mara ke suku akhir Sukan Olimpik Beijing 2008.
Kommentare