Sultan Ibrahim zahir nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

7 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu, Datuk Azhan Md. Othman supaya memastikan seluruh warganya berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Seri Paduka bertitah, rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa kepemimpinan yang berintegriti bermula dari peringkat tertinggi, dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai 'orang tengah' atau ejen di Kementerian Pertahanan…, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk," titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Azhan Md Othman, di Istana Bukit Tunku, di sini.
Azhan secara rasmi dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lepas.
Pelantikan itu adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang bersidang pada 19 November 2025 dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.


















Comments