top of page

Suntikan modal khusus untuk pembayaran hutang SEB

nabalunews

13 Mac 2025


KUALA LUMPUR: Suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) adalah khusus untuk pembayaran hutang SEB dengan 2,000 vendor tempatan yang majoritinya syarikat Bumiputera.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, euntikan modal itu adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB.


Katanya, ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.


“Ia juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan.


“Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.


Anwar berkata, menerusi penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB.


Katanya, pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB.


Sementara itu, Anwar berkata, proses audit sememangnya telah dilaksanakan dan ketekunan wajar (due diligence) tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.


Selanjutnya katanya, dapatan due diligence itu akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak.


“Kerajaan MADANI tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan. Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah.


“Suntikan Kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem O&G yang strategik untuk ekonomi negara,” tegasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page