Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC)Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC)
top of page
  • nabalunews

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC)


Dato' Sri Azalina Othman Said

23 Julai 2021


Perkembangan mutakhir ini telah meluaskan defisit kepercayaan masyarakat terhadap Jabatan Peguam Negara yang mana jika tidak diselesaikan, modus operandi sama yang berterusan akan secara tidak langsung menyumbang kepada kebuntuan politik semasa dan menghalang usaha Kerajaan dalam membina semula keyakinan dan sokongan masyarakat untuk memerangi wabak COVID19 dan ekonomi negara yang kian melemah.


Bagi mempamerkan komitmen Kerajaan untuk memperbaiki tadbir urus dan menjunjung Kedaulatan Undang-Undang. Kerajaan perlu mengambil peluang keemasan ini untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi memperbaharui Jabatan Peguam Negara, yang terdiri dari pakar-pakar perlembagaan ternama yang tidak berat sebelah dan mempunyai wawasan komparatif lantas memastikan pendekatan yang menyeluruh terhadap pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Kerajaan.


Jabatan Peguam Negara kini merupakan agensi primer yang memainkan empat peranan penting: penasihat undang-undang kepada Kerajaan, pendakwaan, badan pentadbir hakim serta majistret di mahkamah rendah dan penggubal undang-undang. Penjelmaan tiga peranan pertama dalam satu agensi menimbulkan konflik kepentingan yang jelas mengaburi bagaimana kedaulatan undang-undang dipraktikkan dan meningkatkan tuduhan mengenai kekebalan dan pendakwaan selektif sehingga mana ia mempengaruhi keyakinan perniagaan yang dicerminkan melalui antara lain Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Persepsi ini mesti diperbetulkan.


Suruhanjaya Siasatan Diraja wajar mengkaji keperluan untuk memisahkan peranan peranan ini supaya Pejabat Peguam Negara hanya berfungsi sebagai penasihat undang-undang Kerajaan. Perkhidmatan pendakwaan patut dijadikan sebagai badan yang bebas di bawah seliaan Peguamcara Negara, menikmati kebebasan dan jaminan jawatan (security of tenure) seperti hakim Mahkamah Persekutuan. Hakim-hakim Mahkamah Rendah boleh diletakkan di bawah Perkhidmatan Kehakiman sebagai Hakim di Mahkamah-mahkamah khusus. Akhirnya, peranan dalam menggubal undang-undang harus diberikan kepada Pejabat Penggubal Undang-Undang Parlimen yang bebas dan berkhidmat kepada Kementerian Kerajaan, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.


lanya mustahak bagi Peguam Negara dipertanggungjawabkan kepada Parlimen berkenaan semua nasihat perundangan yang diberikan kepada Kerajaan. Peguam Negara pertama Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, pernah menjadi Ahli Parlimen dan pada masa yang sama menteri undang-undang (1974-1977), dan juga penggantinya, Tan Sri Hamzah Abu Samah, yang pernah menjawat ketiga-tiga jawatan pada suatu masa (1978-1980). Di United Kingdom, kedua-dua Peguam Negara dan timbalannya yakni Peguamcara Negara adalah Ahli-ahli Parlimen dari parti pemerintah walaupun bukan Menteri Kabinet. Di Australia dan Kanada pula, Peguam Negara adalah menteri Kabinet yang bertanggungjawab berkenaan keadilan. New Zealand mempunyai kedua- dua Peguam Negara dan Menteri Kehakiman di kalangan Jemaah Menteri. Sehubungan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja harus mengkaji pembahagian tenaga kerja yang optimum antara Menteri Kehakiman dan Peguam Negara (jika kedua-duanya diperlukan) bagi memastikan penasihat undang-undang Kerajaan dipertanggungjawabkan di Parlimen.


Keputusan segera mengenai perkara ini sebelum atau semasa Parlimen bersidang semula akan bantu menentukan komitmen Kerajaan terhadap demokrasi berparlimen, kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik.


Azalina Othman Said

Ahli Parlimen Pengerang

bottom of page