top of page

Suspek terlibat kes buli Zara Qairina akan dituduh – AGC

  • nabalunews
  • Aug 18, 2025
  • 1 min read

18 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.


Menerusi satu kenyataan hari ini, AGC menegaskan keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan.


“Jabatan ini menegaskan bahawa walaupun keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli dibuat, namun keputusan tersebut tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina, termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan di mahkamah,” menurut kenyataan itu.


Semalam Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu agar suatu inkues diadakan berhubung kes kematian Zara Qairina.


AGC dalam kenyataannya memohon supaya permohonan dipercepatkan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan sahaja kepada keluarga Allahyarhamah, tetapi juga kepada masyarakat umum.


Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan disahkan meninggal keesokannya di Hospital Queen Elizabeth 1.


Kematian pelajar itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page