top of page

Suzie Nyatakan Sokongan Penuh Terhadap Pendirian Ewon: Keputusan Berundur Lambang Keberanian dan Cinta Terhadap Sabah

  • nabalunews
  • Nov 11, 2025
  • 2 min read

11 November 2025


KOTA MARUDU: Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Bandau, Suzie Salapan, menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta menarik parti itu daripada Pakatan Harapan (PH).


Menurut beliau, keputusan tersebut membuktikan bahawa Datuk Ewon merupakan seorang pemimpin yang berprinsip, berjiwa rakyat serta mempunyai keutamaan yang jelas terhadap kepentingan dan kedaulatan Sabah.


“Sejak awal, saya yakin bahawa Datuk Ewon adalah seorang yang benar-benar berjiwa Sabahan. Walau di mana beliau berada, keutamaan dan cintanya tetap kepada tanah kelahirannya yang tercinta,” ujar Suzie dalam satu kenyataan rasmi hari ini.


Suzie menegaskan bahawa langkah Datuk Ewon berundur daripada Kabinet Persekutuan serta daripada gabungan PH merupakan tindakan yang berlandaskan prinsip dan integriti politik, khususnya dalam mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa keputusan tersebut berpunca daripada ketidaksefahaman Datuk Ewon terhadap pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih persekutuan kepada Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).


“Saya melihat sendiri kesungguhan beliau dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah. Beliau bukan sahaja bekerja keras di kawasan yang diwakilinya, tetapi turut berusaha membantu rakyat di seluruh negeri ini,” katanya.


Suzie berkata, keputusan yang diambil Datuk Ewon menolak tanggapan segelintir pihak yang sebelum ini mendakwa bahawa UPKO hanyalah parti yang mudah dipengaruhi atau “ditarik hidung” oleh pihak luar.


“Selama ini, saya dan rakan-rakan dalam UPKO sering dikecam kerana kesetiaan kami kepada parti. Namun, keputusan Datuk Presiden hari ini membuktikan bahawa UPKO kekal teguh dengan prinsip perjuangan asal — memperjuangkan kebenaran dan kepentingan Sabah,” ujarnya lagi.


Suzie turut menzahirkan rasa bangga dan terharu dengan pendirian Presiden UPKO yang dianggapnya sebagai lambang keberanian seorang pemimpin sejati.


“Saya mengenali Datuk Ewon sebagai seorang pemimpin yang tidak mudah tunduk kepada desakan mana-mana pihak. Prinsip perjuangannya jelas — menjunjung yang betul dan menyanggah yang salah,” katanya.


Beliau turut mendoakan agar Datuk Ewon terus dikurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam meneruskan perjuangan politik demi masa depan rakyat Sabah yang lebih adil, makmur dan bermaruah.


“Saya bangga menjadi sebahagian daripada UPKO, dan saya bersyukur kerana tidak silap memilih wadah perjuangan. Semoga Tuhan memberkati Datuk Presiden dan terus membimbing langkah beliau,” ujar Suzie mengakhiri kenyataannya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page