Suzie Salapan tegaskan Komitmen Kepada Tanah Keturunan
- nabalunews
- Jun 5
- 2 min read

5 Jun 2025
KOTA MARUDU : Kampung Luba Polumpung meriah dengan sambutan Pesta Kaamatan yang berlangsung selama dua hari bermula pada 3 Jun lalu. Majlis pembukaan rasmi telah disempurnakan oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) bagi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Bandau, Suzie Salapan.
Dalam ucapan perasmiannya, Suzie menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada penduduk kampung serta mengakui hubungan peribadi yang erat dengan Kampung Luba Polumpung, yang dianggap sebagai kampung keduanya.
“Separuh daripada darah yang mengalir dalam tubuh ini adalah darah keturunan Luba kerana bapa saya berasal dari sini,” ujar beliau dengan penuh emosi.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap jemputan yang diterima, sambil menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar yang lahir daripada keikhlasan dan kasih sayang masyarakat setempat. Ucapan beliau turut menyentuh aspirasi peribadi untuk kembali menyumbang secara bermakna kepada pembangunan kampung warisan keluarganya.
“Sekiranya diizinkan masa dan rezeki, saya berharap dapat kembali bukan sekadar sebagai anak jati kampung, tetapi juga sebagai insan yang mampu menyumbang dan membawa perubahan yang positif kepada Kampung Luba Polumpung,” kata beliau lagi.
Sambutan Pesta Kaamatan kali ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik yang menggambarkan keunikan budaya dan semangat muafakat masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Markus Sambilan, memaklumkan bahawa antara acara yang diadakan termasuk sukaneka, pertandingan nyanyian kanak-kanak dan dewasa, pertandingan masakan tradisional, serta pertandingan Ragam Si Comel.
Turut mencuri tumpuan ialah acara gusti lengan lelaki dan wanita, pertandingan bina badan kanak-kanak, pertandingan Ratu Ibu, serta pertandingan Unduk Ngadau terbuka Kampung Luba Polumpung. Kesemua acara tersebut dirangka selari dengan tema Kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan Untuk Semua,” yang menekankan penyertaan inklusif dan keterangkuman komuniti.
Pesta Kaamatan di Kampung Luba Polumpung ini bukan sahaja menjadi platform meraikan hasil tuaian, malah menjadi simbol kebersamaan, warisan dan aspirasi generasi akan datang.
תגובות