Syabu Lebih 1KG Dirampas , 'Runner' Warga Asing Ditahan
- nabalunews
- Jan 3
- 1 min read

3 Januari 2026
TAWAU: Polis menahan seorang remaja dan berjaya merampas dadah jenis syabu seberat lebih satu kilogram dalam operasi khas di Jalan Chong Thien Vun, di sini, Khamis lalu.
Suspek warga asing berusia 19 tahun yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda ditahan pada jam 10.15 malam selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi dilaksanakan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya menjalankan pemantauan selama kira-kira hampir 15 minit sebelum berjaya menahan kenderaan suspek.
“Hasil pemeriksaan pihak polis menemukan satu bungkusan plastik hitam mengandungi hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat berjumlah 1,009.47 gram.
“Semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM35,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek hanya bertindak sebagai penghantar dadah berkenaan.
“Suspek mengaku dadah berkenaan miliknya dan dia berperanan sebagai ‘runner’ dengan upah puluhan juta rupiah untuk membawa bekalan tersebut ke negara jiran,” katanya.
Jasmin berkata, polis kemudiannya merampas kenderaan pacuan empat roda, sebuah telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barang kemas yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain risikan diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terlibat di daerah ini.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar menjauhi dadah kerana ia bukan sahaja merosakkan masa depan individu, malah mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat.
Katanya, orang ramai juga digesa untuk segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan pengedaran dadah di kawasan masing-masing.


















Comments