top of page

Syarikat Pembungkus Minyak Masak Subsidi Diambil Tindakan

  • nabalunews
  • Apr 30
  • 2 min read


30 April 2025


SANDAKAN: Sebuah syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi, di sini, dikenakan tindakan selepas dikesan gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan Malaysia berhubung pengedaran barang kawalan itu.


Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John, berkata, tindakan dikenakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).


Katanya, kesalahan itu dikesan ketika sepasukan penguatkuasa KPDN Sandakan menjalankan pengauditan minyak masak paket satu kilogram di sekitar Sandakan pada 25 April lalu.


“Pengauditan itu membabitkan premis syarikat pembungkusan semula dan pemegang lesen runcit barang kawalan termasuk pasar raya.


“Hasil semakan silang yang dijalankan mendapati sebuah premis hanya mengedar 21 tan metrik minyak masak paket bersubsidi satu kilogram berbanding 34 tan metrik yang ditetapkan kepada syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, pemeriksaan susulan di premis syarikat pembungkus minyak masak terbabit kemudian mendapati baki 13 tan lagi diedarkan ke tempat lain tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada Pengawal Bekalan.


“Minyak masak terbabit sepatutnya diedarkan ke premis perniagaan beralamat seperti dinyatakan dalam surat arahan edaran minyak masak paket bersubsidi satu kilogram yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan.


Sehubungan itu, Azdy berkata satu tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap syarikat pembungkus minyak masak terbabit dan dokumen seperti invois serta resit jualan, buku stok dan lesen barang kawalan (CSA) disita untuk siasatan lanjut.


Katanya, arahan penetapan edaran minyak masak paket bersubsidi satu kilogram oleh Pengawal Bekalan Malaysia mula dilaksanakan sejak Ogos 2024.


Menerusi arahan itu, katanya KPDN menetapkan lokasi penghantaran minyak masak paket bersubsidi satu kilogram untuk setiap syarikat pembungkus minyak masak dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan dan ketirisan barang kawalan itu.


“Sebelum ini, syarikat pembungkus minyak masak bebas menghantar bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram kepada pelanggan masing-masing.


“Berikutan itu KPDN sentiasa memantau pengedaran bekalan minyak masak bersubsidi paket dan menjalankan pengauditan secara komprehensif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak itu diterima di setiap rantaian pengedarannya.


“Semua pihak yang terbabit dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak paket bersubsidi satu kilogram adalah diingatkan supaya memberikan komitmen dan bertangunggjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya.


Beliau berkata, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Katanya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.


“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.


Azdy turut meminta kerjasama pengguna untuk bertindak sebagai mata dan telinga KPDN dengan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi seperti Whatsapp 019-848 8000, portal aduan http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1 800 886 800, emel e aduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245 atau surat rasmi ke pejabat KPDN yang berdekatan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page