Syed Saddiq bidas kerajaan lebih fokus isu 'Timah' berbanding isu pentingSyed Saddiq bidas kerajaan lebih fokus isu 'Timah' berbanding isu penting
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Syed Saddiq bidas kerajaan lebih fokus isu 'Timah' berbanding isu penting


1 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman membidas tindakan kerajaan yang lebih memberikan fokus kepada isu jenama wiski ‘Timah’ berbanding membahaskan isu-isu penting di Parlimen.


Menurut beliau, terdapat isu-isu lain yang membelenggu negara yang jauh lebih penting yang harus dibahaskan di Parlimen tetapi isu itu juga yang dijadikan fokus utama.


Antara perkara utama yang perlu difokuskan dalam Parlimen minggu lalu, katanya, ialah laporan Ketua Audit Negara mengenai pembaziran RM620 juta, isu pekerjaan, pendidikan dan penyelewengan.


“Sejak dua minggu lepas, setiap hari kita akan dengar mengenai isu ‘Timah’, adakan kabinet khas untuk bincangkan isu ‘Timah’ dan putuskan penukaran nama itu di dalam mesyuarat kabinet.


“Adakah fokus dan kritikan yang sama diberikan berkenaan isu RM620 juta yang melibatkan jutaan ringgit duit rakyat?” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.


Pada 28 Oktober yang lalu, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid melaporkan bahawa berlakunya pembaziran lebih RM620 juta pada tahun lepas akibat ketirisan dalam pengurusan kewangan oleh kementerian dan jabatan peringkat persekutuan.


Syed Saddiq turut menyorot program pemberian 150,000 komputer riba kepada murid-murid hanya berjaya disudahkan dua minggu lepas walhal murid-murid perlu memakainya sejak awal tahun lagi.


Mengambil contoh terhadap isu tersebut, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan adalah kunci kepada projek kerajaan.


“Apa mesejnya yang saya hendak hantar di sini? Pelaksanaan adalah kunci kepada projek kerajaan,” katanya.


Beliau juga mengkritik Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man yang tidak menjalankan tanggungjawab hakikinya kerana tidak menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26) yang sedang berlangsung di Scotland, sebaliknya memberi fokus kepada isu ‘Timah’.

bottom of page