Tambah Kakitangan PANTAS di Jabatan Tanah dan Ukur: Madius
- nabalunews
- Jun 10
- 2 min read

10 Jun 2025
KIULU: Kerajaan negeri digesa supaya menambah kakitangan untuk melaksanakan operasi Pengurusan Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata beliau difahamkan kakitangan Unit Ukur PANTAS, JTU telah berkurangan dari 60 orang kepada hanya 40 petugas.
Manakala katanya, kakitangan yang terlibat dengan proses dokumentasi yang dulunya lapan orang kini hanya tinggal lagi tiga orang.

“Akibat daripada pengurangan kakitangan itu, maka peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta ataupun RM20 juta setahun dalam Rancangan Malaysia Ke12 iaitu dari tahun 2021 - 2025 tidak tercapai,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Majlis Dialog PANTAS yang diadakan di Dewan Kg. Lokos, Kiulu, pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Daerah Kecil Kiulu, OKK Kumin Gapai, Ketua Kampung Kotunuan Lama, Akim Kuling, Ketua Kampung Lokos, Steven Kimbin, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Lokos, Aloysius Wong serta wakil JTU.

Madius berkata, berdasarkan sumber JTU, pencapaian perbelanjaan peruntukan hanya RM68 juta iaitu 20 juta Tahun 2021 dan RM6.97 juta bagi tahun 2022.
“Manakala bagi tahun 2023 pula hanya sebanyak RM10 juta dan diikuti RM20 juta pada 2024 dan RM12 juta bagi tahun 2025.
“Ia jelas tidak mencapai RM100 juta iaitu ada lagi RM31 juta yang belum dilaksanakan, katanya.

Selaku Ahli Parlimen, katanya, beliau sentiasa bersuara di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia agar peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dapat ditambah untuk memastikan agar tanah-tanah anak Negeri yang masih belum bergeran dapat dikeluarkan geran.
"Namun jika JTU tidak berkeupayaan untuk melaksanakan, maka sia-sialah perjuangan kita.
"Secara keseluruhan sudah tentu rakyat Sabah berterima kasih kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah atas pelaksanaan Program PANTAS ini.

"Sejak pelaksanaan Program PANTAS pada tahun 2011 sehingga tahun 2025, ia telah menberi manfaat kepada 84,614 pemilik tanah hak tanah adat di seluruh Sabah dengan keluasan keseluruhan seluas 484,025,451 ekar.

Madius berkata, Pusat Khidmat Parlimen Tuaran akan menghantar cadangan beberapa lagi buah kampung untuk penyukatan tanah anak Negeri secara PANTAS.
Comentarios