Tan Sri Shahrul Ikram dilantik Duta Besar Malaysia ke AS
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

3 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu.
Kementerian Luar menerusi kenyataan memaklumkan, pelantikan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam istiadat pengurniaan watikah di Istana Negara, hari ini.
Istiadat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Pelantikan Shahrul Ikram menggantikan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, yang tamat perkhidmatannya pada Februari lalu.
Shahrul Ikram merupakan anak kelahiran Pahang, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi daripada Universiti Malaya, serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, AS.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar pada tahun 1988 dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar dari 6 Jan 2019 hingga 31 Mei 2022.
Sepanjang perkhidmatan selama kira-kira 35 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau pernah ditauliahkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Duta Besar Malaysia ke Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.
Semasa berkhidmat di Kementerian Luar, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2015) dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.
Penugasan diplomatik Shahrul Ikram yang lain sebelum ini termasuk perwakilan Malaysia di Vienna, Austria; Washington D.C., Amerika Syarikat dan Beijing, Republik Rakyat China.
Comments