Tapak cadangan pembinaan bangunan MAN Kota Belud Belum dimuktamadkan
- nabalunews
- Oct 24, 2024
- 2 min read

24 October 2024
KOTA BELUD: Tapak cadangan pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Daerah Kota Belud yang dijangka menelan belanja sebanyak RM5 juta masih belum dimuktamadkan, menurut Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jitun.
Menurut Peter, beliau bersama wakil-wakil jabatan lain termasuk Jane Polus Masundang, Ketua Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN), Pool Rumanti dari Jabatan Tanah dan Ukur Kota Belud, serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Belud, telah mengadakan lawatan ke tiga lokasi yang dicadangkan.
Turut serta dalam lawatan ini, Carlye Lajimin, Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan Saikom Watis, Pegawai Pemimpin Masyarakat Kadamaian yang mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga ADUN Kadamaian.
Tiga tapak yang dilawati ialah
Jalan Piasau-Tambulion, Kampung Piasau, Tapak bangunan lama kerajaan berhadapan dengan Jabatan Haiwan Kota Belud dan kawasan hujung Tamu Mingguan Kota Belud di Kampung Siasai.
Peter menjelaskan bahawa keputusan muktamad akan dibuat selepas semua laporan teknikal dari jabatan-jabatan terlibat diterima. Laporan ini akan mempertimbangkan pelbagai aspek seperti kos keseluruhan, keluasan tapak, lokasi strategik, jarak, serta faktor-faktor lain yang relevan untuk memastikan pilihan tapak yang terbaik.
Cadangan untuk membina bangunan khusus MAN di Kota Belud ini diutarakan oleh Datuk Ewon Benedick semasa sesi Dewan Undangan Negeri pada 30 November 2022 lalu.
Beliau mencadangkan agar sebuah bangunan khas dibina bagi mengelakkan Mahkamah Anak Negeri terus beroperasi di Pejabat Daerah Kota Belud yang tidak sesuai untuk jangka panjang.
Ewon menyatakan bahawa pembinaan bangunan MAN yang baru akan menjadi satu lambang kebanggaan bagi masyarakat Anak Negeri di Kota Belud, yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Iranun, Bajau, dan Dusun.
Bangunan ini diharap bukan sahaja akan meningkatkan mutu perkhidmatan MAN tetapi juga memperkukuhkan identiti serta warisan budaya masyarakat tempatan.


















Comments