Tegas Pertahankan Hak 40 Peratus Hasil, Gesa Bayaran Interim Dan Penyelesaian Segera
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

28 April 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus komited dalam mempertahankan hak negeri terhadap Pemberian Khas 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh di Sabah, selaras dengan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Ben Chong berkata, perkara itu dibincangkan melalui Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah pada 28 Januari lalu.
Katanya, ia juga dibincangkan pada Jawatankuasa Kerja Rundingan yang bersidang pada 27 Februari dan 13 Mac lalu.
“Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan sebahagian data berkaitan hasil Persekutuan yang diperoleh di Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2025.
“Bagaimanapun, data berkenaan tidak boleh didedahkan kepada umum dan hanya digunakan bagi tujuan rundingan rasmi antara kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Sani.
Menurutnya, komponen hasil yang dikemukakan merangkumi cukai langsung, cukai tidak langsung, hasil bukan cukai serta hasil petroleum termasuk royalti dan cukai pendapatan petroleum.
Namun katanya, semua komponen itu masih tertakluk kepada rundingan lanjut sebelum dimuktamadkan sebagai asas pengiraan Pemberian Khas.
“Kerajaan Sabah melalui surat bertarikh 18 Mac lalu telah menegaskan bahawa jumlah hasil yang tidak dipertikaikan wajar dibayar terlebih dahulu sebagai bayaran interim.
“Bagi komponen hasil yang masih menjadi pertikaian, ia akan dimuktamadkan dan diselaraskan pada peringkat seterusnya.
“Selain itu, Kerajaan Sabah turut menuntut agar amaun interim Pemberian Khas sebanyak RM600 juta bagi tahun 2026 disemak semula agar selaras dengan formula 40 peratus seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Ben menegaskan Kerajaan Sabah menyatakan penghormatan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 April lalu yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan.
“Penangguhan tersebut adalah sementara menunggu proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“Namun, ditegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu hanya melibatkan tuntutan bagi “lost years” iaitu tempoh dari 1974 hingga 2021.
“Sehubungan itu, melalui surat bertarikh 10 April lalu, Kerajaan Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan agar membuat bayaran Pemberian Khas bagi tahun 2022 hingga 2025 serta tahun semasa.
“Tuntutan ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak 40 peratus tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, ADUN Tanjong Kapor itu menegaskan kerajaan negeri tidak akan berundur atau berkompromi dalam menuntut hak yang termaktub di bawah Perlembagaan.
“Walaupun terdapat penangguhan oleh Mahkamah Rayuan, proses rundingan, perkongsian data dan penilaian akan terus dilaksanakan melalui platform jawatankuasa bersama antara kedua-dua kerajaan.
Pendekatan berterusan ini dilihat sebagai langkah penting ke arah memastikan penyelesaian yang adil, telus dan berasaskan perlembagaan demi kepentingan rakyat Sabah.















Comments