Teknologi AI boleh tingkatkan produktiviti pertanian negara, beri manfaat petani kecil – MOSTI
10 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat membantu meningkatkan daya tahan sektor agromakanan negara dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan efisien dalam bidang pertanian, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.
Beliau berkata, Kementeriannya telah memberikan penekanan kepada penggunaan teknologi AI dalam pertanian, selain pendekatan pertanian regeneratif dan tanaman berdaya tahan iklim, sebagai usaha untuk menjamin ketersediaan makanan negara.
"Kejayaan pelaksanaannya diharap dapat meningkatkan produktiviti yang boleh memberi manfaat kepada petani kecil," katanya.
Jelas Chang, kerajaan telah menyediakan peruntukan sejumlah RM200 juta di bawah Agrobank untuk membantu usahawan agromakanan mendapatkan kemudahan pembiayaan bagi membeli atau menyewa peralatan teknologi moden dalam sektor pertanian.
"Ia sebagai antara usaha menyokong industri makanan tempatan, menjurus kepada peningkatan pengeluaran melalui penggunaan aplikasi teknologi moden dalam sektor pertanian,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia tidak boleh lagi menjadi sekadar pengguna kepada teknologi yang dibangunkan oleh negara maju. Sebaliknya, beliau berkata, rakyat perlu membangunkan keupayaan dan produk serta sistem sendiri untuk kekal berdaya saing dalam kepesatan perubahan semasa.
Commentaires