TEKUN Nasional laksana program baharu khusus untuk usahawan online: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

TEKUN Nasional laksana program baharu khusus untuk usahawan online: Ewon


23 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: TEKUN Nasional melaksanakan program baru khusus untuk para usahawan yang berniaga secara dalam talian melalui Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT), bermula tahun ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, usahawan yang berniaga secara dalam talian tetapi tidak mempunyai pendaftaran perniagaan, boleh mendapatkan bantuan pembiayaan sehingga RM5,000 dan RM10,000 bagi yang berdaftar dengan SSM.


“Pada tahun 2022, TEKUN Nasional telah melaksanakan Skim Pembiayaan Informal Mikro (SPIM) iaitu program pembiayaan tanpa kadar keuntungan atau zero interest yang telah memberi manfaat kepada seramai 31,934 orang usahawan dengan nilai penyaluran pembiayaan berjumlah RM258 juta.

Ewon ketika berucap dalam penggulungan titah Diraja Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Rakyat Parlimen ke-15 hari ini.

“Melalui pelaksanaan skim ini, usahawan informal yang tidak mempunyai permit dan pendaftaran perniagaan, boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5,000 dan RM10,000 bagi yang mempunyai permit dan berdaftar dengan SSM,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam penggulungan titah Diraja Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Rakyat Parlimen ke-15, di sini, hari ini.


Ewon berkata, selain itu, permohonan pembiayaan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga tidak menetapkan pemohon perlu mempunyai pendaftaran SSM.


“Pemohon hanya perlu mengisi borang permohonan dengan disertakan dokumen berkaitan seperti salinan kad pengenalan, salinan kad pengenalan suami atau waris dan salinan buku akaun,” katanya.


Beliau berkata, Bank Rakyat juga telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi pelaksanaan Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil 2.0 yang turut terbuka kepada usahawan informal dan mikro yang tidak mempunyai permit atau pendaftaran perniagaan.


“Sehingga 9 Februari 2023, sebanyak 2,066 pembiayaan telah diluluskan di bawah program ini dengan nilai keseluruhan sebanyak RM46.427 juta,” katanya.

bottom of page