TEKUN Nasional terus komited bantu usahawan mikro
top of page
  • Wartawan Nabalu News

TEKUN Nasional terus komited bantu usahawan mikro

27 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


NABAWAN: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN Nasional) melebarkan operasinya di Pensiangan sebagai langkah memperkukuhkan kedudukan serta memberi manfaat kepada para usahawan di daerah tersebut.


Perasmian Pejabat TEKUN Cawangan Pensiangan pada hari ini, disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Ewon berkata, dengan adanya Pejabat Tekun di Pensiangan akan memudahkan masyarakat usahawan atau peniaga berurusan dengan Tekun.


“Saya pasti pembukaan pejabat TEKUN di daerah ini akan memudahkan semua usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi. Usahawan tidak perlu bersusah payah ke Keningau bagi sebarang urusan. Ia juga menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit,” katanya.


Ewon berkata, sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga Dis 2022, TEKUN Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 543,657 usahawan bernilai RM8.06 billion di seluruh negara.


“Manakala bagi Sabah pula, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM831 juta kepada 58,516 usahawan.


“Bagi meningkatkan taraf ekonomi usahawan, pada tahun ini TEKUN telah mensasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM600 juta untuk disalurkan kepada 32,000 usahawan.


“Bagi negeri Sabah, TEKUN telah memperuntukkan RM75 juta untuk disalurkan kepada 3,730 orang usahawan pada tahun ini. TEKUN Nasional akan terus komited membantu usahawan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan,” katanya.


Sementara itu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Dato’ Adam Abd Ghani berkata, setakat ini Pejabat TEKUN Cawangan Pensiangan mempunyai dua orang kakitangan dengan jumlah usahawan seramai 346 orang dan nilai pembiayaan RM5.3 juta.


“Di Sabah sahaja TEKUN mempunyai pejabat fizikal berjumlah 21 pejabat. Kita cadang membuka pejabat di setiap kawasan Parlimen.


“Dalam masa terdekat TEKUN akan membuka Pejabat Cawangan Penampang yang dijangka beroperasi pada Mac ini,” katanya.


Turut hadir Timbalsn Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Zamri Salleh, Pegawai Daerah Nabawan Neldin Gimbang, Ahli Dewan Negara dan Senator Datuk Bobbey Suan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page