Tengku Zafrul nafi dakwaan Dr Mahathir mengenai rundingan perdagangan AS-Malaysia
- nabalunews
- Aug 8, 2025
- 2 min read

8 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan kerajaan kelihatan gembira dengan hasil rundingan tarif Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, kejayaan yang dicapai itu bukan soal 'kegembiraan', tetapi mengenai pengurusan krisis yang bertanggungjawab demi melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, rundingan dilakukan untuk mengelak tarif AS sebanyak 25 peratus yang boleh mengancam lebih RM198 bilion nilai eksport dan 100,000 pekerjaan khususnya bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E).
"Kita memperoleh kadar 19 peratus setara dengan negara ASEAN yang lain, mengutamakan kepentingan negara dan kestabilan ekonomi.
"Ini bukan pasal 'happy' Tun, tetapi tanggungjawab untuk menyelamatkan periuk nasi dan mata pencarian rakyat Malaysia," katanya dalam hantaran di akaun media sosial rasminya.
Mengulas lanjut dakwaan Dr Mahathir bahawa Malaysia menghapuskan semua cukai ke atas 11,000 produk AS yang memasuki Malaysia sebagai balasan kepada pengurangan tarif kepada 19 peratus daripada 25 peratus, Tengku Zafrul menegaskan kenyataan itu tidak benar.
“Hanya 60.4 peratus baris tarif kini dikenakan duti sifar, bukan 100 peratus seperti yang didakwa.
"100 peratus dengan 60 peratus itu jauh bezanya, Tun. 60 peratus lebih sikit daripada separuh, langsung tak sama dengan semua (100 peratus). Jadi tuduhan Tun jelas adalah palsu," katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa Malaysia bersetuju untuk membekalkan nadir bumi mentah kepada AS.
Jelasnya, tidak ada sebarang kenyataan yang menyatakan Malaysia akan membekalkan nadir bumi mentah kepada AS atau mana-mana negara secara eksklusif atau sebaliknya.
"Malah, sejak 1 Januari 2024, Malaysia telah menguatkuaskan larangan eksport nadir bumi mentah seperti mana diputuskan dalam kabinet, dan dasar ini dipantau ketat dan disemak setiap enam bulan.
"Dasar ini juga telah dimaklumkan kepada semua kerajaan negeri dan pematuhan adalah wajib,” katanya.
Menurutnya, dasar tersebut bertujuan memastikan semua nadir bumi diproses dalam negara bagi memaksimumkan nilai ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Tengku Zafrul berkata, meskipun kerajaan sentiasa terbuka terhadap kritikan, namun ia harus berlandaskan fakta dan bukan tuduhan palsu.
“Tak salah untuk mengkritik, tetapi bila kritikan dibuat berasaskan tuduhan palsu, itu salah,” katanya.















Comments