Terbit artikel kontroversi, 3 individu dari Sarawak Tribune diambil keterangan
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

22 Ogos 2025
PUTRAJAYA: Tiga individu dari syarikat penerbitan Sarawak Tribune dipanggil untuk memberikan keterangan secara berasingan berikutan aduan awam mengenai penerbitan artikel bertajuk “Militant Using Press Cover Eliminated” yang disiarkan 12 Ogos lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, fokus siasatan adalah terhadap penerbitan tidak diingini yang berpotensi menggemparkan masyarakat, menggugat ketenteraman awam serta kemungkinan melanggar syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
"KDN memandang serius perbuatan menyiarkan artikel tersebut yang menimbulkan kekeliruan, rungutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, syarikat akhbar adalah diingatkan supaya lebih teliti, bertanggungjawab dan beretika dalam penerbitan berita selain memastikan kandungan tidak menimbulkan kontroversi atau menyentuh sensitiviti awam," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu menegaskan kesalahan menyiarkan berita tidak benar, mengelirukan atau penerbitan yang dikategorikan sebagai tidak diingini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 301.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, penerbit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, selain berdepan risiko pembatalan permit.
"KDN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai sehingga menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
"Tindakan penguatkuasaan hanya akan diputuskan selepas siasatan dilengkapkan,"katanya.
Dalam laporan bertarikh 12 Ogos lalu, Sarawak Tribune menerbitkan sebuah artikel bertajuk ‘Militant using press cover eliminated” tanpa menyedari individu yang digambarkan sebagai “militan” itu sebenarnya wartawan Al-Jazeera, Anas Al-Sharif.
Tajuk berita itu mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkan seolah-olah melabelkan wartawan Palestin berkenaan sebagai pengganas.
Bagaimanapun, akhbar berkenaan kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf atas kesilapan tersebut.
Commentaires