top of page

Transaksi dalam talian catat aduan pengguna tertinggi – KPDN

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

24 Ogos 2025


KUCHING: Sebanyak 4,809 aduan berkaitan transaksi dalam talian direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam tempoh tujuh bulan ini, menjadikan kategori e-dagang terus kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada aduan pengguna di negara.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 10,486 aduan e-dagang diterima.


Katanya, antara aduan paling banyak dilaporkan melibatkan isu barang tidak diterima, barang tidak menepati spesifikasi, iklan mengelirukan, barang tiruan, penggunaan identiti palsu oleh penjual, serta kesukaran pengguna berurusan dengan pembekal luar negara.


Sehubungan itu katanya, KPDN menganjurkan Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan e-Dagang bagi memperkukuh kerangka perundangan berkaitan untuk melindungi pengguna serta ejen.


“Inisiatif ini juga sebahagian daripada proses perundingan awam yang menjadi elemen penting dalam usaha kementerian memuktamadkan Kajian Semula Perundangan E-Dagang yang telah bermula sejak 2024.


“Sesi ini turut menjadi sebahagian daripada proses Regulatory Impact Assessment (RIA) yang digariskan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bertujuan menilai implikasi dan keberkesanan peraturan serta implikasinya,” katanya dalam kenyataan selepas sesi berkenaan, di sini pada Sabtu.


Sesi libat urus itu merupakan siri ketiga anjuran KPDN, selepas Putrajaya pada 17 Julai dan Kota Kinabalu pada 9 Ogos lalu.


Fuziah berkata, pendekatan tersebut selaras dengan amalan terbaik penggubalan dasar menerusi konsultasi awam yang inklusif, telus dan berasaskan bukti.


“Melalui kaedah ini, pandangan dari pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan, pemain industri serta pengguna dapat digembleng untuk memperkukuh rangka perundangan e-dagang yang lebih mampan, seimbang dan responsif kepada keperluan semasa,” katanya.


Menurutnya, antara objektif utama sesi libat urus ini adalah untuk mendapatkan maklum balas berkenaan semakan undang-undang sedia ada serta membentangkan dapatan kajian serta hala tuju cadangan perundangan baharu.


Selain itu katanya, ia juga menilai keberkesanan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 selain meningkatkan kesedaran mengenai jurang kawal selia dalam ekosistem e-dagang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page