top of page

Terima Kasih Tambah Peruntukan Sabah, Namun Agihan Perlu Cerminkan Kedudukan Equal Partner: Madius

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

ree

14 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas peningkatan peruntukan pembangunan Sabah dalam Belanjawan 2026 daripada RM6.7 bilion kepada RM6.9 bilion.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa agihan peruntukan pembangunan dalam belanjawan tahunan perlu mencerminkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara atau equal partner dengan Semenanjung Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Madius berkata walaupun Artikel 2(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk mengiktiraf Persekutuan Malaysia sebagai tiga wilayah utama, kedudukan Sabah dan Sarawak masih belum tercermin dalam pengagihan peruntukan pembangunan negara.


“Daripada RM81 bilion perbelanjaan pembangunan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, sebanyak 61 projek atau 86 peratus akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, manakala hanya 8.5 peratus (lima projek) di Sabah dan 7.4 peratus (lima projek) di Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2026 di persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.


Madius menambah, keadaan itu menunjukkan Sabah dan Sarawak hanya menerima sekitar 15.9 peratus daripada jumlah keseluruhan projek pembangunan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar mengiktiraf kedudukan kedua-dua wilayah itu sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.


Beliau turut memohon penjelasan mengenai jumlah peruntukan pembangunan Sabah dalam bentuk pinjaman, jumlah projek sambungan serta peratusan projek baharu yang akan dilaksanakan di negeri itu.


Dalam masa sama, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu juga menyambut baik peningkatan Pemberian Khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan daripada RM300 juta kepada RM600 juta, namun menegaskan bahawa 40 peratus hasil kutipan persekutuan daripada Sabah perlu diserahkan semula kepada negeri ini seperti termaktub dalam perlembagaan.


“Walau peruntukan naik, pembangunan Sabah perlu diperhebat. Equal partner bukan hanya slogan, tetapi mesti dilaksanakan sebagai tanda muafakat,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page