Tiada alasan sidang Parlimen ditangguh: Pakatan HarapanTiada alasan sidang Parlimen ditangguh: Pakatan Harapan
top of page
  • Farid Johan

Tiada alasan sidang Parlimen ditangguh: Pakatan Harapan


31 Julai 2021

Oleh Farid Johan


KUALA LUMPUR: Tiada alasan persidangan Parlimen ditangguhkan pada Isnini ini, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan hari ini.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).


Menurut kenyataan itu, laporan Ketua Pengarah Kesihatan mengatakan kadar positif di Parlimen adalah 0.9 peratus iaitu tidak mencapai nilai ambang lima peratus seperti yang disaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi menentukan jumlah ujian saringan.


"Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif Covid-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu.


"Oleh itu, isu jangkitan Covid-19 tidak boleh dan tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguh sidang Parlimen yang perlu diteruskan pada Isnin, 2 Ogos 2021,” kata kenyataan itu.


Kenyataan itu juga menyentuh isu penangguhan sidang Parlimen sebelum ini yang telah ditangguh sebanyak empat kali dengan alasan terdapat sejumlah kes positif Covid-19 di Parlimen.


"Penangguhan sidang tersebut menyaksikan semua yang berada di Parlimen dihalang keluar dan diarah melakukan ujian saringan COVID-19," menurut kenyataan itu.


Sehubungan itu, Majlis Presiden turut menggesa semua pihak termasuk pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan untuk tidak bersekongkol dengan Kerajaan Perikatan Nasional untuk melakukan helah sengaja menutup sidang Parlimen pada Isnin ini.


"Kami juga memberi amaran keras kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin agar tidak memperalat agensi dan Kementerian-Kementerian, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, untuk menutup Parlimen pada Isnin ini.


"Walau apapun yang berlaku, Ahli-Ahli Parlimen tidak boleh dihalang dari hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini untuk melaksana tugas dan tanggungjawab kami kepada Rakyat dan Negara, serta melaksana sumpah yang telah kami angkat iaitu untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.


"Tan Sri Mahiaddin wajib mendengar suara Rakyat yang mahu titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung dijunjung dengan membahas dan memutuskan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen pada Isnin ini," kata kenyataan itu.

bottom of page