Tiada had isi minyak RON95 sekali sehari – MoF
- nabalunews
- 13 hours ago
- 2 min read

23 September 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mempunyai rancangan mengehadkan pembelian RON95 kepada sekali sehari di bawah pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95).
Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan, walaupun kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, inisiatif BUDI95dilaksanakan dengan hasrat memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dapat dipenuhi.
“Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, MoF berkata, peralihan kepada BUDI95 disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia, telah direka dan diteliti agar proses ini tidak menyulitkan rakyat, malah memberi manfaat kepada penerima.
Bagi melindungi kesejahteraan rakyat, katanya kerajaan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter.
“Dengan pemansuhan subsidi pukal, kerajaan mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
“Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.
Menurut MoF, semua warganegara berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.
Jelasnya, siling kelayakan bulanan ini ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
“Siling kelayakan bulanan yang tinggi ini juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar,” katanya.
Kerajaan menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9 pagi, Khamis ini bagi memudahkan semakan profil serta baki penggunaan kelayakan bulanan.
Pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal tersebut.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595.
Comments