Tiada kompromi penerbitan gugat keselamatan, ketenteraman awam - KDN
- nabalunews
- Apr 17
- 1 min read

17 April 2025
PUTRAJAYA: Tiada kompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak cuai dalam menghasilkan penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan undang-undang sepertimana diperuntukkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
"Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbangkan sewajarnya selepas siasatan lengkap," katanya.
KDN berkata demikian susulan isu ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit disiarkan di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily keluaran bertarikh 15 April 2025.
"Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
"Perbuatan ini bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini," katanya.
Menurutnya, KDN telah memulakan tindakan siasatan serta merta berpandukan kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
Dalam pada itu, katanya, pihak Sin Chew Daily telah dipanggil semalam bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan.
Tegasnya lagi, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.
Selain itu, katanya, mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] , boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.
"KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara," katanya.


















Comments