top of page

Tiada kompromi penjawat awam terbabit rasuah, salah guna kuasa

  • nabalunews
  • 14 minutes ago
  • 1 min read

30 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati terlibat dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan perkara itu susulan perkembangan terbaharu berkaitan tangkapan dan siasatan isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan penjawat awam terutama di peringkat pengurusan tertinggi.


“Perkhidmatan Awam tidak akan sama sekali berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam mengikut lunas perundangan ditetapkan sekiranya didapati bersalah.


"Oleh yang demikian, Perkhidmatan Awam akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus bagi memastikan prinsip keadilan terpelihara kepada pihak yang sedang disiasat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Beliau berkata, prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tatakelola penting untuk dijunjung pada setiap masa selaras dengan ikrar Rukun Negara dan ikrar Perkhidmatan Awam.


Jelasnya, prinsip itu bagi memastikan imej dan kredibiliti Perkhidmatan Awam tidak dicemari dengan perilaku yang boleh menghakis kepercayaan awam terhadap institusi teras negara seperti mana yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Nilai integriti akan sentiasa menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara selaras dengan aspirasi di bawah Kerajaan Madani,” katanya.


Media sebelum ini melaporkan beberapa bekas individu kanan dalam perkhidmatan awam utama negara termasuk institusi pertahanan dihadapkan ke mahkamah berhubung kes rasuah membabitkan operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page