TIGA KLUSTER BAHARU DIREKODKAN HARI INI DI SEMPORNA, TAWAU DAN KUALA PENYU
22 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Tiga kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini, iaitu di Semporna, Tawau dan Kuala Penyu dikenali sebagai Kluster Indani, Kluster Abaka dan Kluster Melikai.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Indani di Semporna mula direkodkan pada 16 Mei lalu apabila kes indeks, warganegara, lelaki, 20, menjalani saringan bergejala di Hospital Semporna dan disahkan positif RTK Ag.
Beliau berkata, kes indeks telah ditempatkan di Hospital Semporna untuk rawatan dan isolasi.
“Susulan kes itu, saringan kontak yang dijalankan kemudian berjaya mengesan 11 lagi kes positif termasuk ahli keluarga (generasi pertama dan kedua), menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes setakat hari ini.
“Secara keseluruhan, 96 sampel kontak rapat telah diambil, manakala 49 orang kontak yang lain adalah negatif dan 35 sampel lagi masih menunggu keputusan. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Kluster Abaka di Tawau pula mulai dikesan pada 14 Mei lalu dan pada hari ini mencatat jumlah kumulatif sebanyak 38 kes.
Katanya, kes indeks adalah guru lelaki, 26, didapati positif serta pasangannya dalam saringan rentas negeri untuk kembali bertugas di SK Tanjung Aru, WP Labuan, selepas meraikan aidilfitri di Tawau.
“Berdasarkan penelitian kes, pasangan yang masuk ke Sabah pada 08 Mei 2021 itu terlibat dengan aktiviti kunjung-mengunjung sehingga 14 Mei 2021 di Taman Abaka, Ladang Table di Mukim Merotai, Tawau.
“Daripada 171 kontak yang disaring, 68 sampel didapati negatif, manakala 65 sampel lagi masih menunggu keputusan. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, Kluster Melikai di Kuala Penyu melibatkan kes indeks dari Wilayah Persekutuan Labuan yang balik ke Kg Melikai Menumbok untuk menyambut aidilfitri mulai 13 Mei lalu.
“Kes indeks merupakan wanita, 50, Penolong Guru Tadika Perpaduan di Batu Arang, Labuan yang mula bergejala batuk dan demam, tetapi negatif dalam saringan masuk ke Sabah pada 12 Mei 2021.
“Selepas empat hari berada di Sabah, kes indeks yang menjalani saringan sebelum diberikan dos kedua vaksin di Klinik Kesihatan Labuan kemudiannya disahkan positif COVID-19 pada 17 Mei 2021,” katanya.
Masidi berkata, daripada 167 sampel yang diambil dalam kluster ini, 15 lagi dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes, manakala baki 74 sampel masih dalam proses. Aktiviti kawalan dan pencegahan sedang giat dijalankan.
Comentários