Tiga lagi kluster pendidikan dikesan di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tiga lagi kluster pendidikan dikesan di Sabah


Tiga lagi kluster baharu, kesemuanya kluster institusi pendidikan di laporkan di Sabah hari ini, iaitu Kluster Batu Enam Kota Belud, Kluster Jalan Sugut Ranau dan Kluster Kemburongoh 2 di Ranau.

17 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan tiga lagi kluster Covid-19 melibatkan institusi pendidikan di dua daerah iaitu Kota Belud dan Ranau, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.


Kluster Batu Enam di Kota Belud, melibatkan pelajar asrama SMK Taun Gusi 2 di mana kes indeks adalah adalah seorang pelajar perempuan, warganegara, 15 tahun.


Masidi berkata, pelajar itu mula bergejala pada 9 Februari dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud, sebelum didapati positif pada keesokan harinya.


“Saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas telah mendapati lebih ramai yang terjangkit menjadikan jumlah kumulatif kes positif 19 kes setakat 17 Februari.


“Semua kes telah dihantar ke pusat kuarantin dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Manakala, Kluster Jalan Sugut diisytiharkan di daerah Ranau hari ini dan melibatkan warga SMK Ulu Sugut.


“Indeks kes adalah seorang guru wanita, 39 tahun, warganegara, dikesan melalui saringan bergejala pada 7 Februari.


“Saringan terhadap kontak rapat telah mendapati lebih ramai yang didapati positif dan jumlah keseluruhan yang terlibat setakat 17 Februari ialah 49 kes,” jelasnya.


Sementara itu, satu lagi kluster institusi pendidikan di daerah Ranau ialah Kluster Kemburongoh 2 yang melibatkan warga SMK Kemburongoh.


“Indeks kes adalah seorang lelaki, 52 tahun, warganegara dan merupakan seorang pengawal keselamatan di SMK Kemburongoh yang dikesan positif melalui saringan bergejala pada 7 Februari.


“Secara keseluruhannya jumlah kumulatif yang positif ialah 54 kes setakat hari ini setelah saringan dibuat ke atas kontak-kontak rapat,” katanya.


bottom of page