top of page
Wartawan Nabalu News

Tindakan Mohamaddin Ketapi keluar Warisan sudah dijangka: Azhar



30 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah (Warisan), Azhar Matussin berkata, tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi keluar daripada Warisan sudah dijangka sejak beberapa hari lalu.


Azhar berkata, Mohamaddin memilih jalan senang dengan membelakangkan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu adalah tidak wajar.

“Mohamaddin lari dari perjuangan meninggalkan rakan-rakan seperjuangan. Sekarang beliau bersekongkol dengan pihak yang dulu dikatakan tidak baik. Apa-apa pun rakyat tahu menilai bila tiba masanya nanti,” katanya.


Beliau mengulas pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama hari ini yang membuat keputusan keluar dari Warisan dan menjadi Adun Bebas menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Mohamaddin, 64, dipetik sebagai berkata, beliau bertindak keluar parti bagi memberi tumpuan memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama yang menurutnya tiada kemajuan.


Azhar yang juga Adun Darau berkata, bukan mudah untuk menjadi wakil rakyat yang jujur dan setia kepada mandat rakyat sekali gus mengutamakan perjuangan memartabatkan bangsa Sabah.


“Apa-apa pun kita ucapkan Selamat Maju Jaya kepada Datuk Mohamaddin Ketapi. Kami yang masih dalam Warisan tetap akan bersama-sama kepimpinan Warisan yang diterajui Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal,” katanya.


Beliau berkata, setakat ini beliau yakin rakan-rakan Adun lain tetap fokus membantu rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19 sekali gus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.


“Kita tetap fokus membantu rakyat yang sangat memerlukan perkhidmatan kita dan tidak perlu lompat parti untuk fokus berkhidmat di kawasan yang diwakili kerana kerajaan sedia ada akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan di seluruh Sabah.


“Kita tidak lari dengan pendirian asal selepas dilantik menjadi Adun untuk tetap dengan pendirian kekal bersama Warisan,” katanya.



تعليقات


bottom of page