top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tindakan tegas peniaga jual kit ujian Covid-19 melebihi harga maksimum



8 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 melebihi harga maksimum.


Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, harga maksimum kit ujian kendiri Covid-19 adalah RM19.90.


“Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang menjual melebihi harga maksimum iaitu RM19.90 yang diwartakan kerajaan dan melakukan aktiviti menyorok bekalan memandangkan kit ujian covid-19 telah diwartakan sebagai barangan kawalan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin pada sesi pendengaran dalam kamar khas, hari ini.


Mengenai bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di Sabah, Rosol berkata buat masa ini ia mencukupi dan pemantauan dijalankan setiap hari terhadap premis-premis menjual kit ujian kendiri itu.


Bagaimanpun katanya, kerajaan juga menyedari kekurangan bekalan kit ujian kendiri itu sebelum ini di Sabah.


“Tidak dapat dinafikan ada beberapa premis kehabisan stok kerana berada di kawasan padat dan harga jualan lebih rendah berbanding dengan premis lain menyebabkan stok kit ujian kendiri tersebut tiada dalam pasaran buat masa tertentu sahaja.


“Tetapi sehingga kini keberadaan kit ujian kendiri Covid-19 telah pulih selepas Tahun Baharu Cina berdasarkan,” katanya.


Rosol berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 376 peruncit di Sabah telah diberi kelulusan untuk menjual kit ujian kendiri Covid-19.


Beliau berkata, KPDNHEP Sabah juga sentiasa mengalu-alukan agar lebih banyak peruncit tampil memohon untuk menjual kit ujian ini.


“KPDNHEP Sabah menasihatkan agar pembeli membuat pembelian mengikut keperluan dan mengelak pembelian panik,” katanya dan menambah pembelian panik berlaku sebelum ini kerana kes melonjak dan cuti Tahun Baharu Cina yang panjang.



Comments


bottom of page