Tindakan tegas terhadap penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dana awam – Anwar

3 Nov 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya reformasi tatakelola bagi menangani pembaziran peruntukan dana awam dan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau menteri yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan ketirisan dana awam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tidak mahu soal rasuah dan tatakelola diremehkan kerana ia boleh menyebabkan kerugian kepada dana awam, seperti yang sering ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini.
"Pengalaman-pengalaman (salah guna kuasa dan ketirisan) ini kita harus ambil kira dan kita tegaskan tak boleh berulang... sebab itu kita putuskan untuk ambil tindakan sebaik sahaja ia disahkan.
“Pegawai, pengurus atau menteri atau siapa sahaja yang bertanggungjawab harus dikenakan tindakan, ini termasuk juga pengurusan dana syarikat kerajaan yang kurang memuaskan," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat semalam.
Anwar berkata beberapa contoh penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dana awam yang telah dilaporkan dalam LKAN dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah kegagalan 104 ventilator berfungsi daripada 136 yang diperoleh semasa pandemik COVID-19 dan kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin tamat tarikh luput.
Beliau juga berkata taklimat oleh Ketua Audit Negara berhubung hasil pengauditan terkini menunjukkan penemuan utama adalah kerugian wang awam hampir RM700 juta, antaranya melibatkan pengurusan program penanaman padi negara, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan kawal selia senjata api di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Jelas beliau, kerajaan telah melalui beberapa pengalaman dan akan mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam sistem tatakelola.
Comentários