Titah Adendum: Najib fail rayuan keputusan Mahkamah Tinggi
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

29 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Memetik laporan Bernama, peguam kepada bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan bahawa notis rayuan berkaitan Titah Adendum telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 24 Disember lepas.
Menurut beliau, rayuan bagi kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib akan difailkan dalam masa terdekat selepas pihaknya menerima perintah rasmi daripada mahkamah untuk pengesahan.
Pada 22 Disember, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menolak permohonan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
Susulan keputusan itu, Najib, 72, perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi pada asalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas beliau, keputusan yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, petisyen Najib untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022 menyaksikan Lembaga Pengampunan memendekkan tempoh hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta.
Pada 26 Disember, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Najib, selepas beliau didapati bersalah atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan,memerintahkan tempoh penjara Najib bermula pada 2028, selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International.














