top of page

Titah Agong berkaitan MA63 peringatan amat bermakna – Mustapha

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

19 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi peringatan yang amat bermakna.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, titah itu jelas menegaskan negara ini dibina atas semangat perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.


“Saya menyambut baik seruan agar kita kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia serta peringatan supaya semua pihak berhati-hati dan tidak menghasut sehingga mewujudkan ketegangan antara wilayah.


"Sebarang perbezaan pandangan wajar diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan semangat kebersamaan, bukan melalui kebencian atau syak wasangka," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mustapha berkata, sejajar dengan pendekatan Kerajaan Madani, pelaksanaan MA63 akan terus dilakukan secara berperingkat, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.


Tambahnya, usaha itu akan mengutamakan prinsip keadilan, ketelusan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah dan Sarawak.


“Usaha berterusan ini merangkumi penambahbaikan kepada kerangka perundangan dan perlembagaan dan penurunan kuasa pentadbiran yang munasabah.


“Selain itu, ia juga melibatkan pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta Sarawak melalui mekanisme rundingan yang konstruktif dan berterusan,” jelasnya.


Dalam konteks pembinaan negara bangsa dan memperkukuh perpaduan nasional, katanya, Pelan Pendidikan Negara yang bakal dilancarkan diharap dapat memberi penekanan lebih jelas terhadap sejarah pembentukan Malaysia, termasuk semangat dan makna MA63 agar difahami secara menyeluruh oleh generasi muda.


Menurut beliau, pelaksanaan MA63 bukan sekadar memenuhi tuntutan perjanjian, sebaliknya sebagai agenda nasional masa depan untuk memastikan pembangunan lebih seimbang, pengurusan sumber berkesan serta penyampaian perkhidmatan awam yang responsif dan berintegriti.


“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Kerajaan Madani akan terus memastikan semangat MA63 diterjemahkan melalui tindakan yang konkrit dan berpaksikan kepentingan rakyat, demi memperkukuh perpaduan Persekutuan serta menjamin kestabilan dan kemakmuran Malaysia secara menyeluruh,” katanya.


Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan semua ahli parlimen supaya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang diasaskan menerusi MA63 yang berteraskan perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan.


Peringatan itu disampaikan Sultan Ibrahim ketika bertitah dalam Titah Diraja pada Sidang Dewan Rakyat bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15, hari ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page