Tolak semua sama sekali parti-parti Malaya di Sabah di PRU15 akan datang
top of page
  • nabalunews

Tolak semua sama sekali parti-parti Malaya di Sabah di PRU15 akan datang


23 Februari 2022


1. Tuntutan agar 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen Malaysia mesti dari Negeri-Negeri Borneo (Sabah, Sarawak) bukanlah baru, sudah dibuat sejak 1970-an dan Kerajaan Persekutuan tidak patut menangguh lagi mengembalikan kuasa sepertiga Parlimen kepada Sabah dan Sarawak.


2. Dahulu ketika Singapura masih berada dalam Persekutuan sepertiga kerusi Parlimen ketika itu adalah dari tiga wilayah berkenaan sebagai formula perkongsian kuasa dengan Malaya.


3. Sepatutnya tiada parti-parti dari Malaya patut mengambil kerusi dari Sabah dan Sarawak. Ia sebagai veto Sabah dan Sarawak jika Malaya hendak memaksakan sesuatu undang-undang kepada wilayah Borneo.


4. Parti-parti Sabah pula hendaklah jangan berpura-pura meminta sepertiga kerusi Parlimen kepada Borneo tetapi pada masa yang sama menyerahkan kerusi-kerusi Sabah itu kepada parti-parti dari Malaya yang menjadi sekutu, kalau bukan tuan, mereka.


5. Penguasaan berterusan parti-parti Malaya terhadap sebahagian besar kerusi Parlimen mahupun DUN di Sabah bukanlah keuntungan kepada rakyat Sabah bahkan mereka menjadi mangsa selama dua dekad Umno berkuasa di sini di mana masalah kemiskinan terus menghantui, masalah pendatang haram tidak diselesaikan, infrastruktur pendidikan, kesihatan dan keselamatan terus ketinggalan, bahkan budaya rasuah, salah guna kuasa, rasisme, ektrimisme agama telah diternakkan di kalangan penduduk Sabah yang selama ini terkenal dengan keharmonian pelbagai bangsa.


6. Memandangkan Perlembagaan kita tidak menghalang parti-parti Malaya beroperasi di Sabah, maka tanggungjawab adalah terletak pada bahu rakyat jelata Sabah memastikan hanya parti tempatan yang bebas dari pengaruh parti luar dipilih pada pilihanraya akan datang.


7. Pengundi Sabah perlu berani mengambil teladan Sarawak yang berusaha keras memastikan parti-parti tempatan menguasai kerusi-kerusi Parlimen dan DUN Sarawak.


Presiden Borneo's Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo)

Daniel John Jambun


Pengerusi Gindol Initiative for Civil Society Borneo Kota Kinabalu

Kanul Gindol


Tags:

bottom of page