TPM Fadillah: Para belia digalakkan ceburi industri koko
top of page
  • Wartawan Nabalu News

TPM Fadillah: Para belia digalakkan ceburi industri koko


20 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Industri koko menawarkan peluang yang menarik bagi golongan belia yang ingin menceburi bidang perladangan dan komoditi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau berkata, Lembaga Koko Malaysia (LKM) merancang untuk membuka 200 hektar kawasan tanaman koko baharu di seluruh negara pada tahun ini, dan belia tempatan yang terlatih diperlukan untuk mengembangkan potensi komoditi tersebut.


"Kita menuju IR4.0... kerana itu kita perlukan belia kerana mereka dilatih secara teknikal dan mereka lebih mesra gajet. Maknanya, kita menggunakan semua teknologi untuk memastikan kita memodenkan sektor perladangan dan pertanian kita in what way we can benefit supaya pemain industri dapat menambah hasil," katanya.


Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga Agrikomoditi 2023.


Fadillah berkata, bagi meningkatkan penanaman industri koko negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan meneliti secara keseluruhan ekosistem industri koko membabitkan peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.


"Kebiasaannya syarikat besar mempunyai dana untuk beralih kepada mekanisasi dan automasi namun bagi syarikat dan pekebun kecil, mereka boleh memohon bantuan daripada kerajaan dan kita sedia membantu," katanya.


Beliau turut memberitahu bahawa jumlah keluasan tanaman koko negara setakat ini adalah 5,985 hektar, iaitu 3,444 hektar di Sabah, 1,454 hektar di Sarawak dan 1,087 hektar di Semenanjung¹.


Sementara itu, Fadillah menyambut baik kedudukan Malaysia yang kini disenarai pada Tahap 2 Pemerhatian menerusi Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2023.


Beliau berkata, peningkatan berkenaan menunjukkan hasil kerjasama dan usaha semua pihak dalam memastikan Malaysia melaksanakan amalan baik bagi menangani isu pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan buruh paksa serta melaksanakan penguatkuasaan.


"Perkembangan positif ini memberi impak kepada aktiviti perdagangan dalam dan luar negara serta menghapuskan persepsi negatif mengenai isu buruh paksa di Malaysia," katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page