Trump adakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

25 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula esok sempena Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.
Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan itu di atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan merupakan yang pertama oleh Trump ke rantau Asia Tenggara sejak beliau dipilih sebagai Presiden ke-47 AS pada Januari lalu.
Kementerian itu yang juga dikenali Wisma Putra memaklumkan , Perdana Menteri dan Trump dijadual mengadakan mesyuarat dua hala pada 26 Oktober.
"Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan serta hubungan antara rakyat selaras dengan Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Anwar dan Trump turut dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta menandatangani beberapa dokumen penting yang meliputi bidang perdagangan dan keselamatan.
"Lawatan ini dijangka memperkukuh lagi hubungan antara Malaysia dan AS serta membuka lembaran baharu ke arah peningkatan tahap hubungan dua hala yang lebih strategik," menurut kenyataan itu lagi.
Hubungan dua hala antara Malaysia dan AS kekal kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957.
AS kekal antara rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM324.91 bilion (US$71.39 bilion) pada 2024.


















Comments