Tubuh jawatankuasa diraja tambahbaik kesiapsiagaan hadapi bencana: AnwarTubuh jawatankuasa diraja tambahbaik kesiapsiagaan hadapi bencana: Anwar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tubuh jawatankuasa diraja tambahbaik kesiapsiagaan hadapi bencana: Anwar


22 Dis 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa Parlimen untuk menambahbaik tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana. Beliau berkata, kelemahan dan tahap kesiapsiagaan negara yang masih rendah dalam menghadapi bencana begitu jelas kelihatan terutamanya ketika malapetaka banjir yang menimpa beberapa negeri pada hujung minggu lalu. “Perubahan iklim dan tahap kesedaran kita yang lemah terhadap peranan dan kepentingan alam sekitar akan menyaksikan peningkatan yang amat dahsyat terutamanya dalam aspek keberlakuan bencana alam di masa hadapan. “Kita tidak mampu untuk memikir dan menyiasat apa yang menjadi punca kelemahan kita hujung minggu yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, kelmarin. Beliau turut mengkritik tindakan lembab dari kerajaan persekutuan terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan penyelerasan tidak sistematik dengan pihak kerajaan serta dengan agensi-agensi tempatan dalam membantu mangsa-mangsa banjir. “Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memungkinkan beberapa pegawai untuk bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu warga yang terkesan. “Krisis ini adalah mimpi buruk yang nyata kepada Perdana Menteri tatkala malapetaka tadbir urus ini melatari 100 hari pentadbirannya. “Kegagalan demi kegagalan dalam mengurus bencana ini hanya menonjolkan tahap keupayaan sebenar kerajaan yang dikemudi beliau,” katanya. Menurut Anwar, kerajaan dan pimpinan yang gagal menonjolkan kebersamaan dengan rakyat sedari awal bencana ini, tidak akan mampu memberi keyakinan kepada semua bahawa mereka dapat melonjakkan negara ke arah pemulihan dari musibah yang melanda termasuk masalah wabak pandemik yang masih lagi belum tamat. Beliau juga menunutu agar kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai banjir dan tidak memandang remeh soal pemulihan sesudah banjir. “Kerajaan mesti punyai sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi kepada orang ramai dan mesti mengadakan sidang media harian bagi mengemaskini situasi semasa banjir dan langkah menyelamat,” jelasnya. Setakat Selasa, dilaporkan bahawa jumlah mangsa banjir ialah seramai 71,876 melibatkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur. Manakala mangsa terkorban akibat banjir setakat ini pula ialah sebanyak 27 orang, 20 daripadanya di Selangor dan tujuh orang lagi di Pahang.

bottom of page