Tuduhan ke atas Syed Saddiq bermotifkan politik - WarisanTuduhan ke atas Syed Saddiq bermotifkan politik - Warisan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tuduhan ke atas Syed Saddiq bermotifkan politik - Warisan


23 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Parti Warisan menyifatkan pertuduhan mahkamah ke atas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai serangan politik untuk menjatuhkan karier politik beliau selaku pemimpin anak muda Malaysia.


Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua mendakwa, kerajaan PN bukan sahaja gagal mentadbir negara, tetapi telah menyalahgunakan kuasa.


“Persoalannya, mengapa baru sekarang beliau (Syed Saddiq) didakwa atas pelbagai pertuduhan pecah amanah? Apa yang jelas adalah pertuduhan ini dibuat setelah beberapa kali beliau menolak pujukan dan ugutan yang memintanya menyokong PN.


“Warisan memuji prinsip yang dipegang oleh YB Syed Saddiq,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Loretto berkata, sekiranya generasi muda Malaysia mempunyai prinsip dan berpegang teguh kepada prinsip tersebut, beliau percaya masih ada sinar harapan untuk Malaysia.


Beliau berkata, sebagai pemimpin muda, Syed Saddiq mesti tabah dan kuat untuk mendepani dan melawan segala ketidakadilan.


“Beliau tidak perlu khuatir kerana rakyat benci dengan penindasan serta ketidakadilan. Ingatlah, Berani kerana benar.


“Sejarah telah membuktikan bahawa pemerintah yang menyalahgunakan kuasa serta menggunakan kuasa untuk menindas rakyat atau seteru politik pasti dihukum rakyat seperti yang telah berlaku pada PRU 14,” katanya.


Loretto berkata, Warisan telah menempuhi pelbagai fasa penindasan serta ketidakadilan ketika pemerintahan kerajaan UMNO BN dimana kerajaan pada masa itu telah menggunakan agensi-agensinya untuk menekan pemimpin-pemimpin yang lantang dan tidak sehaluan.


“Sepertimana yang berlaku kepada Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal serta pemimpin-pemimpin lain seperti Datuk Peter Anthony dan Datuk Azis pada ketika itu.


“Namun disebabkan mereka berpegang teguh kepada prinsip, mereka tidak sesekali menyerah dan tetap melawan sehinggalah tiba PRU dimana rakyat telah membuat keputusan untuk menolak kerajaan yang tidak adil dan menindas.


“Warisan berharap agar rakyat berdiri melawan penindasan serta ketidakadilan. Jangan sesekali takut kerana rakyat berkuasa menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan itu,” katanya.

bottom of page