Tujuh tahun tempoh peroleh semula RM145 bilion pengeluaran khas KWSP
- nabalunews
- Sep 8, 2025
- 1 min read

8 September 2025
KUALA LUMPUR: Dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM145 bilion yang dikeluarkan menerusi beberapa siri pengeluaran khas semasa pandemik Covid-19 dijangka mengambil tempoh sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk dipulihkan sepenuhnya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengeluaran berkenaan membabitkan 8.2 juta pencarum melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas.
Katanya, KWSP kini sedang berusaha membina semula simpanan pencarum dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan struktur sedia ada bagi memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan.
“Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan pengeluaran baharu memandangkan struktur akaun KWSP telah dirombak dengan mewujudkan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3, manakala Akaun 3 bersifat fleksibel bagi pengeluaran kecemasan.
“Akaun 1 juga telah ditambah baik di mana jumlah caruman dinaikkan kepada 75 peratus. Jadi dengan usaha ini, kita berjaya meningkatkan sedikit simpanan pencarum,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai tempoh serta usaha kerajaan untuk memulihkan semula simpanan yang dikeluarkan lebih 8.2 juta pencarum pada 2022 susulan pandemik Covid-19.
Amir Hamzah berkata, KWSP turut meneliti cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen bulanan untuk ahli baharu, manakala pencarum sedia ada boleh memilih untuk menyertai skim itu.
Bagaimanapun katanya, perkara tersebut masih dalam penelitian dan dijangka diluluskan dalam beberapa tahun akan datang.















Comments