Tujuh Usahawan Sosial Tempatan Sertai Social Enterprise World Forum (SEWF) 2025 di Taipei
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

26 Oktober 2025
CYBERJAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), terus memperkukuh peranannya dalam membangun dan memperkasa ekosistem keusahawanan sosial di Malaysia.
Sebagai agensi peneraju dalam latihan dan pembangunan keusahawanan sosial negara, INSKEN menyediakan program latihan berstruktur yang bertujuan memperkukuh kapasiti usahawan sosial tempatan serta menyokong proses pensijilan dan akreditasi perusahaan sosial diiktiraf.
Sehingga September 2025, INSKEN telah berjaya membantu seramai 498 usahawan sosial mendapatkan penarafan keusahawanan sosial, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan usahawan yang bukan sahaja berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi turut memberi impak sosial yang mampan dan inklusif.

Dalam usaha memperluas jangkauan dan membina jaringan antarabangsa, INSKEN dengan bangga mengumumkan penyertaan tujuh usahawan sosial tempatan sebagai sebahagian daripada delegasi rasmi Malaysia ke Social Enterprise World Forum (SEWF) 2025, yang akan berlangsung di Taipei, Taiwan dari 27 hingga 31 Oktober depan.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni, berkata penyertaan Malaysia ke SEWF 2025 bukan sekadar peluang untuk memperkenalkan model perniagaan sosial tempatan ke peringkat global, tetapi juga medan pembelajaran strategik bagi memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa.
Katanya, INSKEN amat berbangga untuk menjadi penaja kepada tujuh usahawan sosial ini yang akan membawa nama Malaysia ke pentas dunia.
“Platform seperti SEWF memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi, bertukar pandangan dan mempamerkan inovasi sosial mereka kepada komuniti global.
“Kami juga berharap agar usaha INSKEN ini dapat memperkasakan lebih banyak agensi dan entiti negeri di seluruh Malaysia supaya agenda keusahawanan sosial terus berkembang, walaupun berlaku perubahan mandat di peringkat persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Difahamkan, tujuh usahawan sosial yang dipilih mewakili Malaysia melalui usaha INSKEN ialah Drop & Wash Sdn. Bhd, Ibupreneur, Jom Makcik Sdn. Bhd, Koperasi Kongsi Selangor Berhad, Opah Delitaste Enterprise dan Borneo Fertilyst serta Arus Academy Sdn. Bhd.
Pemilihan peserta dibuat berdasarkan model perniagaan sosial yang inovatif, potensi impak sosioekonomi berskala besar, serta komitmen terhadap agenda pembangunan inklusif di Malaysia.
Selain para usahawan sosial, delegasi Malaysia turut dianggotai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Rahman Mohd Din serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub.
SEWF 2025, yang dianjurkan oleh Social Enterprise World Forum dengan kerjasama Impact Hub Taipei, merupakan platform utama global yang menghimpunkan usahawan sosial, inovator dan penggiat impak dari seluruh dunia.
Bertemakan “Collective Action for People and Planet”, forum ini dijangka menarik penyertaan ribuan delegasi daripada lebih 50 negara.
Bersempena dengan penganjuran SEWF 2025, INSKEN turut memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan keusahawanan sosial di peringkat domestik dengan bertindak sebagai rakan strategik kepada Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) bagi penganjuran Rural Social Enterprise Gathering yang akan berlangsung di Sabah dari 1 hingga 3 November 2025.
Langkah itu menegaskan peranan INSKEN sebagai peneraju utama dalam membangunkan ekosistem keusahawanan sosial yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi di Malaysia.


















Comments