top of page

Tuntutan 40 peratus hasil Sabah jadi keutamaan Jemaah Menteri – Mustapha

  • nabalunews
  • 58 minutes ago
  • 2 min read

14 Januari 2026


KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan serius terhadap pematuhan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan meletakkan isu itu sebagai keutamaan utama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, penghakiman pada 17 Oktober 2025 itu menetapkan dua garis masa pelaksanaan penting iaitu tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah serta 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri mencapai persetujuan dan melaksanakan mekanisme pembayaran.


“Tempoh 90 hari tersebut telah berakhir pada hari ini (14 Januari 2026), dengan satu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah diadakan pada 17 November 2025.


“Mesyuarat adalah sebahagian daripada proses semakan awal dan perbincangan mengenai kerangka, parameter serta perkara perkara asas berkaitan pelaksanaan keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Mustapha, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Selasa lepas bagi memperkukuhkan komitmen untuk mempercepatkan proses semakan semula selaras dengan garis masa mahkamah.


Ujarnya, pematuhan kepada kedaulatan undang-undang adalah penting untuk melindungi kepentingan rakyat Sabah dan negara secara keseluruhannya.


Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.


Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.


Hakim Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya turut mengarahkan supaya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah itu.


Kes tersebut dimulakan Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan kerajaan Persekutuan menegakkan hak hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page