top of page

Ucapan Penerangan Pendirian Kerajaan Madani Berhubung Pemberian Khas Persekutuan Kepada Sabah

  • nabalunews
  • Oct 22, 2025
  • 4 min read

OLEH: YAB DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

PERDANA MENTERI


22 OKTOBER 2025 (RABU)


MUKADIMAH

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,

Tan Sri Yang di-Pertua,


1. Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah.


2. Kerajaan MADANI menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah diterima kelak, sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.


3. Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lainnya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan satu kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus.


4. Keputusan ini mengundang tafsiran yang mengelirukan seolah-olah bahawa kononnya Kerajaan Persekutan hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah.


5. Bagi menghormati proses perundangan yang mungkin masih berlangsung, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan apa jua perkara yang masih menjadi pertikaian di Mahkamah. Hari ini bagi menyangkal tohmahan, saya ingin menerangkan kerangka besar berhubung komitmen Kerajaan MADANI kepada pembangunan Sabah.


KERAJAAN MADANI KOMITED MENZAHIRKAN SEMANGAT

PERJANJIAN MALAYSIA 1963


6. Pertamanya, saya ingin tegaskan bahawa, sepertimana Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebelum ini, iaitu Perdana-Perdana Menteri dan Menteri-Menteri sebelum ini, Kerajaan MADANI komited memenuhi segala obligasi kepada Sabah sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


7. Tidak dapat dimungkiri bahawa setakat ini, Kerajaan MADANI telah mencapai kemajuan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri II.


8. Sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan. Antara tuntutan yang dipersetujui bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah termasuklah:


a) Penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah. Kendatipun begitu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.


b) Kerajaan MADANI juga mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182. Selain itu, kita juga telah menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan Projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah sehingga 50 juta ringgit.


c) Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) Akta 53 bagi melantik wakil Kerajaan Sabah Dan Sarawak sebagai Anggota Tetap LHDN.


PEMBERIAN KHAS PERSEKUTUAN KEPADA SABAH


9. Berkenaan Pemberian Khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah, kajian semula telah dilaksanakan dan diwartakan pada tahun 2022, 2023 dan 2025. Kajian ini adalah sah dan selaras dengan peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.


Pertama: Kajian semula ini telah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan untuk menampung kos perkhidmatan di Sabah.


Kedua: Kajian semula ini juga meliputi tempoh lima tahun; dan


Ketiga: Pewartaan kajian semula telahpun dibentangkan ke Parlimen.


10. Pemberian Khas kepada Sabah telah pegun pada kadar 26.7 juta ringgit sehinggalah tahun 2021.


11. Pada tahun 2019, Kerajaan Sabah telah bersetuju dengan cadangan meningkatkan Pemberian Khas Sabah daripada 26.7 juta ringgit kepada 53.4 juta ringgit.


12. Kajian semula dibuat pada tahun 2022 dan persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah pada masa itu dicapai untuk menaikkan kadar Pemberian Khas kepada 125.6 juta ringgit.


13. Di bawah Kerajaan MADANI, kajian semula Pemberian Khas juga dilaksanakan pada tahun 2023 dan kita mencapai persetujuan bersama untuk menggandakan kadar Pemberian Khas kepada 300 juta ringgit.


14. Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi melaksanakan kajian semula dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Sabah untuk menaikkan sekali ganda lagi kadar Pemberian Khas kepada 600 juta ringgit.


15. Pembayaran keseluruhan Pemberian Khas 600 juta ringgit telahpun disempurnakan pada 10 September lalu kepada Kerajaan Sabah.


16. Kadar Pemberian Khas yang dinaikkan kepada 600 juta ringgit adalah bersifat interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan Pemberian Khas pada masa depan.


PERUNTUKAN PERSEKUTUAN UNTUK SABAH


17. Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah juga terus meningkat. Perbelanjaan ini meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api serta perbelanjaan untuk pembangunan.


• Jumlah perbelanjaan sebenar untuk Sabah bagi tahun 2022 adalah sekitar 13 bilion ringgit.


• Di bawah Kerajaan MADANI, perbelanjaan untuk Sabah telah ditingkatkan kepada sekitar 14 bilion ringgit bagi tahun 2023 dan 2024.


• Kerajaan MADANI juga terus meningkatkan peruntukan kepada Sabah mencecah 17 bilion ringgit bagi tahun 2025 dan 2026.


18. Hakikatnya, perbelanjaan ini jauh melebihi jumlah hasil yang telah dikutip di Sabah untuk tahun 2022, 2023 dan 2024 iaitu sekitar 10 bilion ringgit setahun. Hasil tersebut termasuk bayaran tunai hasil petroleum 5 peratus serta cukai langsung dan tidak langsung lain. Ini bermakna, Kerajaan MADANI telah membelanjakan lebih daripada hasil keseluruhan pendapatan di Sabah.


19. Di bawah Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI terus mengambil kira keperluan Sabah. Peruntukan pembangunan 2026 mencecah hampir 7 bilion ringgit iaitu tertinggi ketimbang semua negeri lain. Di bawah RMK13, projek yang disenaraikan juga telah mengambil kira permohonan keutamaan Kerajaan Sabah. Umpamanya:

• Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta);

• Jalan dari Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta); dan

• Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1a

(RM200 juta).


20. Kerajaan MADANI telah meneruskan semula pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan projek sebanyak 14 bilion ringgit merangkumi 5 bilion ringgit peruntukan pembangunan dan 9 bilion ringgit dibiayai melalui pinjaman.


21. Sejak 2024 juga, Kerajaan telah menyediakan pembiayaan berjumlah 1 bilion ringgit untuk projek air Sabah dan ini dijangka

siap pada tahun hadapan.


PERJANJIAN KERJASAMA KOMERSIAL (CCA)


22. Selanjutnya, Kerajaan Persekutuan juga menyokong pertumbuhan sektor minyak dan gas di Sabah supaya dimanfaatkan rakyat di Sabah.


23. Untuk itu, pada Disember 2021, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah dimeterai dengan Kerajaan Sabah dengan hasrat meningkatkan penyertaan anak Sabah untuk berkecimpung dalam industri minyak dan gas Sabah.


24. Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kerjasama tersebut membuahkan hasil dengan kontraktor minyak dan gas Sabah memperoleh projek bernilai 2 bilion ringgit pada tahun 2024.


25. Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan Sabah ke atas produk petroleum bagi tujuan menjana hasil tambahan kepada Sabah sekitar 2 bilion ringgit sejak tahun 2022.


PENUTUP


26. Kerajaan MADANI telah sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak, meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun untuk kesejahteraan Sabah.


27. Komitmen ini adalah berterusan supaya segala obligasi Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat dipenuhi selain menambah baik Pemberian Khas Sabah sesuai dengan keperluan perkhidmatan Kerajaan Sabah dan kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan. Inilah tekad Kerajaan MADANI dan sepertimana janji-janji lain, ia akan direalisasikan.


Sekian, Wassalamualaikum WBT, dan terima kasih

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page