top of page
  • Wartawan Nabalu News

UDA lancar Sukuk Wakalah pertama bernilai RM1 bilion

 

7 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA), satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Sukuk Wakalah pertama bernilai RM1 bilion.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, langkah UDA itu tepat pada masanya memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi yang kini menekankan aspek kelestarian perniagaan.

 

“Penerbitan Sukuk Wakalah ini menjadi sejarah penting kerana UDA menjadi organisasi pertama yang menggunakan definisi Pelaburan Mampan Dan Bertanggungjawab (SRI – Sustainable Responsible Investment) untuk projek pembangunan hartanah wakaf.

 

“Usaha menerbitkan Sukuk Wakalah ini juga seiring dengan tema, ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang secara spesifiknya merujuk kepada salah satu daripada empat teras strategik utama iaitu, ‘Membina Semula Ekonomi.’

 

“Kejayaan menerbitkan Sukuk Wakalah ini akan memastikan kelangsungan atau kemampanan UDA Holdings Berhad terus berkhidmat dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara,” katanya.

 

UDA Holding adalah peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti.

 

Sementara itu Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, dana daripada penerbitan Sukuk Wakalah itu akan digunakan antara lainnya sebagai modal pusingan pembiayaan projek-projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian serta projek wakaf.

 

Beliau berkata, sejajar perkembangan global yang menitikberatkan faktor kelestarian dalam setiap organisasi, Sukuk Wakalah UDA yang akan diterbitkan turut menggunapakai Rangka Kerja Sukuk Kelestarian yang dikeluarkan olehSuruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

“Secara khususnya, ia merangkumi Piawaian Bon HijauASEAN, Piawaian Bon Sosial ASEAN dan Piawaian Bon Lestari ASEAN.

 

“Selain itu, ia juga diselaraskan dengan Prinsip Bon Hijau, Prinsip Bon Sosial dan Garis Panduan Bon Lestari yang dikeluarkan oleh Persatuan Modal Antarabangsa,” katanya.

 

Katanya lagi, penggunaan Rangka Kerja Sukuk Kelestarian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai asas penerbitan Sukuk Wakalah itu akan menyaksikan UDA memenuhi sembilan Garis Panduan Pembangunan Lestari (SDG).

 

“Hasil daripada terbitan Sukuk Wakalah ini juga, Pengurusan Aset Kumpulan UDA akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pengaplikasian tenaga solar di bangunan-bangunan yang diselenggara UDA seterusnya memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam,” katanya.

 

Mohd. Salem berkata, UDA yang kini mempunyai jumlah aset bernilai RM3.7 billion yakin sembilan matlamat SDG itu akan dicapai berdasarkan pengalaman menjalankan operasi selama lebih 50 tahun dalam sektor pembangunan hartanah serta menjadi perintis dan model terbaik untuk pembangunan tanah wakaf.


Beliau berkata, UDA juga berjaya mengembangkan peranannya dengan membangunkan hartanah berbentuk penempatan kediaman selain komersial di kawasan-kawasan bandar.

 

“Kejayaan UDA turut diktiraf oleh pelbagai pihak sama ada di dalam atau luar negara. Pada tahun 2022, UDA menerima 16 anugerah dalam pelbagai aspek perniagaan yang dijalankan,” katanya.

 

Katanya lagi, nilai projek pembangunan UDA yang sedang dilaksanakan setakat September tahun lalu ialah RM494.8 juta.

 

“Selain itu, UDA juga mempunyai rizab tanah seluas 1,014 ekar dengan taksiran harga pasaran bernilai RM2.6 bilion.

 

“Statistik yang kukuh ini meletakkan UDA di landasan yang tepat untuk terus menjadi antara peneraju utama dalam sektor pembangunan hartanah negara,” katanya.

Comments


bottom of page