top of page
  • Wartawan Nabalu News

UDA salur sumbangan zakat kepada lima NGO, rai anak asnaf, yatim

Ewon (duduk tengah) bergambar bersama anak-anak asnaf yang turut diraikan pada majlis itu.

28 Mac 2023

Ileh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM58,000 kepada anak asnaf dan yatim sekitar Lembah Klang menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares.


Sumbangan itu disampaikan kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur, Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur, Rumah Permata Hatiku, Rumah Anak Yatim Shifa serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah.

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan disaksikan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr Mohd. Salem pada Majlis Berbuka Puasa UDA Bersama Media, di Boathouse, Tasik Ampang, d sini, hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan sumbangan itu, RM10,000 disalurkan kepada setiap NGO dan selebihnya sumbangan wang tunai kepada 40 anak asnaf dari Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur iaitu RM200 setiap seorang untuk persediaan sambutan Ramadan serta Hari Raya Aidilfiltri.


Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu Ewon berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat UDA Cares menyantuni anak-anak yatim, asnaf dan orang kurang upaya merupakan amalan murni yang perlu diteruskan.

“Ini adalah antara acara tahunan UDA Holdings dan saya juga amat menghargai usaha agensi-agensi lain dibawah kementerian saya yang turut melaksanakan program CSR masing-masing membantu masyarakat yang memerlukan.


“Saya berharap sumbangan ini dapat membawa keceriaan dan memberi makna kepada anak asnaf dan anak yatim menjelang lebaran tahun ini,” katanya.

Mengenai majlis itu, Ewon berkata ia bertujuan menghargai sokongan media terhadap UDA.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media atas sokongan berterusan dan berharap hubungan baik itu terus berkekalan.


“Terima kasih kepada semua pengamal media atas sokongan berterusan kepada UDA dan agensi-agensi lain di bawah kementerian,” katanya.


bottom of page