top of page

UMNO DESAK MAHIADDIN ADAKAN SIDANG PARLIMEN DALAM TEMPOH 14 HARI

Wartawan Nabalu News

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

21 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: UMNO mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.


Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini (21 Jun) oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tempoh 14 hari itu adalah bermula daripada tarikh kenyataan ini.


Katanya, UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen.


“Umno menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.


“Sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan,” katanya.


Beliau berkata: “Justeru itu tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah”.


Katanya lagi, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah.


“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasa 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya.



Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page