UMNO DIJEMPUT BAWA RUU BERSAMA UNTUK PERUNTUKAN KAWASAN SAKSAMA UMNO DIJEMPUT BAWA RUU BERSAMA UNTUK PERUNTUKAN KAWASAN SAKSAMA
top of page
  • nabalunews

UMNO DIJEMPUT BAWA RUU BERSAMA UNTUK PERUNTUKAN KAWASAN SAKSAMA


Datuk Wilfred Madius Tangau

6 Feb 2021


Saya menjemput Datuk Seri Zahid Hamidi dan rakan-rakan UMNO di parlimen untuk bersama-sama membawa satu Rang Undang-undang Peruntukan Pembangunan Kawasan Saksama dalam bentuk rang undang-undang persendirian (private member’s bill) bila Parlimen bersidang selepas Darurat.


Peruntukan untuk pembangunan kawasan (Constituency Development Fund, CDF) harus saksama dan diperuntukkan oleh undang-undang yang khas, dan bukan ditentukan sewenang-wenangnya oleh pihak kerajaan.


Jika Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin menghentikan persengketaan antara parti-parti kerajaan dan parti-parti pembangkang supaya semua pihak boleh menggembleng tenaga untuk melawan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi, maka beliau mesti menghentikan amalan tidak adil yang menganaktirikan ahli-ahli parlimen pembangkang – sekarang merangkumi UMNO – supaya mereka tertekan untuk menyertai kerajaan.


Saya tumpang simpati dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk dan presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, yang merasai kesempitan kerana ahli-ahli parlimen UMNO diberikan peruntukan hanya RM 100,000 dan bukan RM 3.7 juta oleh ahli-ahli parlimen parti kerajaan di Semenanjung.

Pesanan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu jelas sekali – UMNO yang selalu kata tidak menyokong kerajaan beliau adalah pembangkang. Demi menghukum UMNO, beliau sanggup mengaku dirinya Perdana Menteri minoriti. Beliau sesungguhnya ingin memaksa UMNO untuk melutut, memohon maaf pada Bersatu dan memulihkan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi perbezaan peruntukan itu yang melebihi RM 3 juta.


Kalau wakil-wakil rakyat UMNO tetap menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tidak ingin hilang peruntukan lebihan melepasi RM 3 juta (bezanya hampir RM 4 juta untuk ahli-ahli parlimen UMNO di Sabah), maka UMNO mestilah berpakat dengan parti-parti pembangkang lain seperti UPKO untuk melawan diskriminasi ini.


Kalau negara-negara Komanwel lain seperti Kenya dan Ghana mempunyai undang-undang yang jelas dan memastikan pengagihan CDF secara saksama, kenapa Malaysia tidak boleh?


Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan menghentikan amalan menghina rakyat kawasan-kawasan pembangkang, demi maruah, saya berharap UMNO dan UPKO akan berkerjasama membawa rang undang-undang persendirian (private member’s bill) untuk CDF saksama dan menguji majoriti pihak kerajaan pada sidang akan datang.


Untuk makluman awam dan khasnya Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan peruntukan RM 100,000 untuk wakil rakyat pembangkang semasa pembentangan bajet 2021, peruntukan itu tidak sampai ke Tuaran. Kalau wang telah dikeluarkan, maka ia telah kehilangan di tengah jalan. Seringgit pun saya tidak terima.


Kini saya terpaksa menggunakan sebahagian daripada gaji Ahli Parlimen untuk membayar pembantu-pembantu saya dan menyewa ruang Pejabat berdekatan Hotel Tang Dynasty di Berungis, Tuaran (di samping pelayanan secara Online) untuk berkhidmat untuk rakyat Tuaran yang saya kasihi.


Ini kerana Kerajaan Negeri baru juga telah menamatkan peruntukan untuk membayar elaun pegawai-pegawai di pusat khidmat. Malahan, pejabat Pusat Khidmat Parlimen Tuaran yang beroperasi di bangunan lama Pejabat Daerah Kecil Tamparuli turut diambil balik oleh kerajaan negeri.


Diskriminasi terhadap Ahli-ahli Parlimen, dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali di Perak sejak Disember 2020 telah berlangsung berdekad-dekad. Semasa zaman BN, wakil-wakil rakyat pembangkang tidak mendapat seringgitpun CDF. PH mengurangkan tetapi tidak menghapuskan diskriminasi ini – pada tahun 2018, wakil-wakil rakyat pembangkang mendapat RM 100,000 sementara wakil-wakil rakyat pemerintah mendapat RM 500,000.


Datuk Seri Zahid Hamidi, mari kita bersama-sama lawan amalan keji ini yang dahulunya kita sama-sama terlepas pandang ketidakadilannya.


Kini, kita mesti bersikap adil untuk memperjuangkan keadilan untuk semua ahli Dewan dan bukan kita sahaja. Tiada pembangkang, sama ada UMNO ataupun UPKO, harus dianaktirikan.


Sesungguhnya kalau kita ingin gantikan Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka kita mestilah lebih adil dan berhemah daripadanya. Rakyat sudah jemu dengan amalan kepartian sempit yang menzalimi parti lawan.


Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Ahli Parlimen P170 Tuaran

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)


bottom of page