top of page
  • Wartawan Nabalu News

Umno Sabah siap siaga lawan Bersatu pada PRU-15



4 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: UMNO Sabah bersiap sedia untuk berdepan dengan mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) akan datang.


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah akan mempertahankan semua kerusi dimenanginya pada pilihan raya umum yang lalu walaupun terpaksa berdepan dengan Bersatu pada pilihan raya akan datang.


Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, ia adalah selaras dengan keputusan pimpinan tertinggi UMNO Pusat.


“UMNO negeri tiada pilihan lain, selain menghormati keputusan pimpinan tertinggi parti untuk terus mempertahan kerusi dimenangi pada pilihan raya umum lalu.


“Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bagaimanapun apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding (pada PRU15), maka UMNO tiada pilihan. UMNO kena mempertahankan kerusi-kerusi ditandingi dan seterusnya memperkasa parti,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.


Pada Jumaat, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO akan mempertahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.


Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid berkata perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 2020.


Pada 2 Oktober Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemungkinan pertembungan parti itu dengan UMNO dalam PRU15 merupakan antara realiti politik yang perlu diterima, dan Bersatu bersedia menghadapi sebarang kebarangkalian terjadi pada masa akan datang, dengan cara serta strategi tersendiri.


Beliau dipetik sebagai berkata, dalam menghadapi PRU15 apa yang penting adalah penilaian rakyat tentang sejauh mana parti politik itu dapat membantu mereka terutama berdepan Covid-19 masa kini dan siapa yang dapat membantu mereka dalam menghadapi cabaran yang mendatang.


Bung Moktar turut menyambut baik kenyataan Muhyiddin itu dan meminta jentera UMNO Sabah di semua peringkat bersiap sedia menghadapi PRU15.


“UMNO Sabah juga bersedia untuk berdepan dengan mana-mana parti termasuk Bersatu, dalam pilihan raya umum tersebut.


“Kita (UMNO) telah mengharungi pelbagai dugaan besar. Kita pernah menang dan pernah kalah. Jadi ini bukan satu rintangan besar untuk kita berdepan dengan mana-mana parti dalam PRU akan datang,” katanya.


Pada PRU14 tahun 2018, UMNO memenangi tujuh kerusi Parlimen di Sabah iaitu Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran, Kimanis, dan Kinabatangan.


Lima ahli Parlimen UMNO itu kemudian bertindak menyertai Bersatu iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).


Comments


bottom of page